Thursday, August 11, 2011

Perabot bertaburan atas jalan



MARANG - Beratus-ratus bungkusan perabot pasang siap bertaburan di atas jalan apabila sebuah treler yang sarat membawa muatan barangan itu terbabas, lalu terbalik di satu selekoh di Kampung Bukit Jetit, dekat Gong Beris di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berlaku apabila pemandu treler berumur awal 30-an yang dalam perjalanan dari arah Wakaf Tapai ke Marang, terbabas ke kanan jalan selepas mengambil selekoh dalam keadaan jalan licin akibat hujan lebat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, PBK 2 Nik Mat Ali berkata, berikutan itu, lori terbabit terbabas ke kanan jalan lalu terbalik dan mengakibatkan ratusan bungkusan perabot pasang siap yang dibawa kenderaan itu bertaburan di atas jalan.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.15 dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

“Dengan bantuan penduduk, kami berjaya menyekat orang ramai daripada mengambil bungkusan perabot pasang siap itu,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Nik Mat berkata, wakil majikan pemandu terbabit dari Gong Badak, Kuala Terengganu kemudiannya datang dan mengambil masa lebih sejam untuk memindahkan bungkusan perabot ke kenderaan lain.

“Bagaimanapun, kemalangan itu tidak mengakibatkan kesesakan kerana bukan di laluan utama.

“Manakala, pemandu treler terbabit dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dikeluarkan dari treler,” katanya mengetuai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang.

Difahamkan, pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Merchang untuk berbuka puasa sebelum kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.-SH

No comments:

Post a Comment