Thursday, August 11, 2011

Penduduk bekerjasama kawal keselamatan komuniti

LONDON: Beratus-ratus penduduk London turun ke jalan raya semalam bagi melindungi komuniti mereka daripada menjadi mangsa penjarah. Ratusan komuniti Sikh, termasuk sesetengahnya memakai pakaian tradisional, berkumpul di luar gurdwara di Southall, barat London, selepas tersebar khabar angin pusat ibadat itu bakal menjadi sasaran perusuh. Mereka menyusun giliran berkawal dan memantau stesen kereta api bagi mengesan kedatangan pengacau. Di Enfield, utara London, kira-kira 200 penduduk tempatan berkumpul di kawasan mereka bagi “melindungi jalanan” daripada diceroboh. Rakaman video amatur menunjukkan 100 orang berkumpul melaungkan kata-kata “England! England”. Sebelum itu, mereka terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan pemuda bersenjata kayu hoki tetapi keadaan berjaya ditenangkan kemudian. Ratusan yang lain pula berkumpul di pinggir Eltham yang turut didakwa bakal menjadi sasaran perusuh. Seorang daripada penduduk di situ berkata, Eltham adalah kawasan kediaman penduduk kelas pertengahan. “Kami berkumpul untuk melindungi komuniti di sini dan membantu polis,” katanya. Pekedai di utara London - kebanyakannya keturunan Turki - berkawal di luar premis masing-masing sehingga awal pagi sambil membawa senjata. - AFP
hmetro

No comments:

Post a Comment