Tuesday, August 2, 2011

Kematian peserta demo Bersih, BN terus ditekan



Kematian Baharuddin Ahmad yang menyertai demonstrasi Bersih pada 9 Julai lalu terus meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Barisan Nasional.Terbaharu, keluarga Baharuddin yang mendapat sokongan Pakatan Rakyat menuntut inkues diadakan ekoran pertikaian sebab kematian Allahyarham.
Kes Baharuddin menambah lagi kes kematian yang dipertanggungjawabkan ke atas pemerintah selepas Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed.
Selepas kematian Teoh, pembantu wakil rakyat DAP dan anggota kastam Ahmad Sarbaini di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, kematian Baharuddin menjadi isu baharu yang menjadikan pentadbiran Najib defensif.
Kematian Teoh yang disiasat Suruhanjaya Diraja dinilai oleh BN sebagai memberi kelebihan kepada mereka ekoran keputusan yang menunjukkan Teoh membunuh diri. Kematian Ahmad Sarbaini diputuskan siasatan forensik sebagai tidak mempunyai tanda bunuh diri atau dibunuh.
Kedua-dua kematian masih menjadi kontroversi dan dipertikaikan sesetengah pihak terutama pembangkang, yang kelihatan masih tidak berpuas hati dan mahu kerajaan dipertanggungjawabkan.
Ketiga-tiga kematian mempunyai elemen politik yang membolehkan pihak berkepentingan mengambil kesempatan untuk membina sentimen sokongan dan tentangan terhadap pemerintah.
Parti-parti PR kini meningkatkan kempen untuk mengekalkan momentum Bersih 2.0 dengan kematian Baharuddin menjadi salah satu isu utamanya, pada masa sama blog-blog propemerintah mengecam PR kerana didakwa "mempolitikkan" kematian Baharuddin.
Kematian dalam protes menentang pemerintah menjadi antara isu tumpuan yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan dalam kebangkitan di Tunisia dan Mesir. Kematian peserta demonstrasi menjadi salah satu ciri utama kebangkitan di dunia Arab, dan menjadikan rejim terbabit kecaman masyarakat antarabangsa.
Pakatan pembangkang dilihat menjadikan kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat sebagai model untuk membina sentimen negatif terhadap kerajaan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
PR mengadakan siri forum dan ceramah selepas tercetus kebangkitan di dunia Arab dan memberi fokus pada persamaan suasana politik di negara terbabit dengan Malaysia, seperti penguasaan elit politik yang mengaut kekayaan secara tidak adil.
Antara persamaan yang ditumpukan ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadikan sasaran kritikan dan sindiran kerana disamakan dengan wanita-wanita pertama rejim Tunisia dan Mesir yang mewah berlebihan.
Protes Bersih 2.0 pada awal Julai merupakan sebahagian usaha meneruskan momentum menuju Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir. 


Dipetik daripada blog Siasah Daily

No comments:

Post a Comment