Tuesday, August 2, 2011

Perbicaraan Mubarak esok



KAHERAH 1 Ogos - Pendakwa Raya Mesir, Abdel Meguid Mahmoud mengarahkan bekas Presiden Hosni Mubarak (gambar) menghadiri perbicaraan pertamanya Rabu ini berhubung pembunuhan penunjuk perasaan antikerajaan semasa pemberontakan rakyat pada Februari lalu.
Jurucakap kerajaan, Mohamed Hegazy yang dipetik akhbar Al Ahram berkata, Menteri Dalam Negeri Mansour al-Essawi telah menjalankan beberapa urusan penting bagi memenuhi arahan pendakwa raya tersebut.
Perbicaraan Mubarak yang disingkirkan dalam pemberontakan rakyat akan diadakan Rabu ini di Akademi Polis,di pinggir Kaherah.
Turut menghadapi pertuduhan ialah dua anak lelaki Mubarak, Alaa dan Gamal; bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adli; dan enam pegawai tertinggi polis.
Prosiding itu akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen.
Mubarak, 83, tidak muncul di mata umum sejak 10 Februari lalu. Beliau dilapor menerima rawatan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Laut Merah sejak 13 April lalu kerana serangan jantung.
Bekas Presiden itu minggu lalu dilaporkan enggan makan menyebabkan beliau kehilangan berat badan dan lemah, sekali gus meningkatkan spekulasi beliau tidak akan dibicarakan Rabu ini seperti dijadualkan.
Alaa dan Gamal kini ditahan di sebuah penjara di Kaherah. - dpa
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment