Thursday, December 22, 2011

Nik Abdul Aziz masuk hospital, keadaan stabil


KOTA BHARU 21 Dis. _ Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dimasukkan ke sebuah hospital di sini untuk berehat sejak kelmarin.

Setiausaha Akhbar beliau, Ahmad Fadzli Shaari berkata, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berada dalam keadaan stabil dan akan dibenarkan keluar dalam tempoh terdekat.

Kenyataan tersebut ditulis oleh Ahmad Fadzli dalam status laman sosial facebook milik Nik Abdul Aziz hari ini dan beliau tidak pula menyatakan Menteri Besar itu dimasukkan ke hospital mana.

Status kesihatan Nik Abdul Aziz menimbulkan tanda tanya banyak pihak biarpun beliau sebelum ini sering menegaskan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, dalam status yang sama, Ahmad Fadzli berkata, Nik Abdul Aziz tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada menyokong atau tidak pendirian bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

"Merujuk kepada laporan muka hadapan The Star hari ini yang memetik bahawa pendirian Hasan disokong oleh Nik Abdul Aziz, sukalah dinyatakan bahawa Nik Abdul Aziz tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada menyokong atau tidak pendirian Hasan.

"Kenyataan terakhir Nik Abdul Aziz dalam isu Hasan Ali ialah menyerahkan isu ini untuk dikendalikan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor dan seterusnya pimpinan Pas peringkat pusat. Justeru, tidak timbul isu Nik Abdul Aziz menyokong pendirian Hasan," katanya.

Hasan dalam sidang akhbar semalam menolak konsep dasar Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh Pas, sebaliknya beliau mahu parti itu kembali pada perjuangan asal iaitu menubuhkan sebuah negara Islam.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment