Thursday, December 22, 2011

PM nafi terima surat letak jawatan Shahrizat

KUALA LUMPUR: “Tidak, saya belum menerimanya (surat peletakan jawatan),” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menafikan menerima surat peletakan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan selepas melancarkan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dan Siri Mata Wang Baru di sini, semalam.


Perdana Menteri bagaimanapun menolak ketika diminta mengulas mengenai kontroversi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

“Saya akan ulas bila tiba masanya,” katanya.


Shahrizat kini berdepan dengan isu NFC yang diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang menjadi Pengerusi Eksekutif syarikat, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan Oktober lalu menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.


Isu berkenaan semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Sementara itu, Shahrizat ketika ditemui pemberita di majlis Karisma bersamapertubuhan sukarelawan semalam berkata, beliau tahu apa yang perlu dilakukannya dan mampu membuat keputusan sendiri.


“Tidak perlu sesiapa gesa saya. Saya tahu apa yang perlu dibuat,” katanya apabila ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang mahu beliau meletakkan jawatan berikutan isu NFC itu.

Shahrizat berkata, beliau hanya isteri pengerusi NFC dan daripada segi undang-undang dan profesional, dia tiada kena mengena dengan kes NFC.

myMetro | PM nafi terima surat letak jawatan Shahrizat:

No comments:

Post a Comment