Thursday, December 22, 2011

Penuntut Malaysia cemerlang



(dari kiri) Dr. Rosaida Sidek, Dr. Zaitul Akma Baharudin dan Dr. Nurshaheda Mohd. Salleh tersenyum bangga apabila diumumkan antara penuntut perubatan yang cemerlang di Jakarta, semalam. – BERNAMA


JAKARTA 21 Dis. – Anak kepada pasangan petani dari Bachok, Kelantan, Dr. Rosaida Sidek muncul sebagai penuntut jurusan perubatan cemerlang dan sekali gus mengharumkan nama Malaysia di Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida), di sini.

Berusia 24 tahun, Dr. Rosaida tidak pernah menjadikan latar belakang keluarga sebagai halangan untuk meningkatkan prestasinya selama lima tahun menelaah ilmu perubatan di universiti berkenaan.

Dengan merangkul Anugerah Cum Laude iaitu penghormatan yang diberikan oleh Ukrida kepada mahasiswa cemerlang yang mendapat Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.50 ke atas dalam pengajian, kegembiraan itu dikongsi Dr. Rosaida bersama ibu dan ayahnya, Ramlah Daud dan Sidek Hamzah.

Kedua ibu bapa Dr. Rosaida hadir buat pertama kali ke Ukrida untuk melihat anak mereka dilantik dan mengangkat sumpah sebagai doktor.

“Tiada apa yang menggembirakan saya selain dapat menyelesaikan pengajian dalam bidang perubatan selain daripada membahagiakan kedua ibu bapa serta keluarga saya,” kata Dr. Rosaida yang memperoleh PGNK 3.60 ketika ditemui selepas majlis pelantikan dan angkat sumpah sebagai doktor di Ukrida di sini hari ini.

Dr. Rosaida yang juga penerima biasiswa Mara berkata, dia sangat bertuah kerana mendapat sokongan, restu dan doa yang tidak terhenti daripada kedua ibu bapanya.

Kegembiraan yang sama dikongsi oleh ibu Dr. Rosaida, Ramlah yang memberitahu, dia amat bersyukur kerana anak bongsu daripada lima saudara kandung itu akhirnya berjaya membawa pulang ijazah dalam bidang kedoktoran.

“Pengorbanannya selama lima tahun di Jakarta akhirnya membuahkan hasil. Saya amat bersyukur dan gembira dengan pencapaian Rosaida,” ujar Ramlah lagi.

Bagi Sidek yang mengusahakan tanaman tembakau, sayur-sayuran dan padi di kampung halamannya berkata, kepulangan Dr. Rosaida ke tanah air untuk berbakti kepada masyarakat merupakan hal yang sangat menggembirakan beliau.

Biarpun terpaksa bekerja keras untuk membantu meringankan kos perbelanjaan Dr. Rosaida di perantauan, namun kepayahan itu katanya berbayar apabila melihat anaknya hari ini secara rasmi bergelar seorang doktor.

Selain Dr. Rosaida, dua pelajar Malaysia yang lain, Dr. Zaitul Akma Baharuddin dan Dr. Nurshaheda Mohd. Salleh juga turut diumumkan sebagai pelajar cemerlang.

Kedua-dua pelajar berkenaan menamatkan pengajian masing-masing dengan memperoleh PGNK 3.58 dan 3.51.

Ketiga-tiga mereka serta 21 penuntut Malaysia lain menerima pelantikan dan mengangkat sumpah pada Majlis Pelantikan Doktor Angkatan Ke-83 di depan Dekan Fakulti Kedoktoran Ukrida, Dr. Mardi Santoso. – Utusan

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment