Thursday, August 2, 2012

Al-Humaira pertahan tindakan tamat kontrak Abby Abadi

Logo Al-Humaira Contemporary (AHC)
Logo Al-Humaira Contemporary (AHC)
SHAH ALAM - Al-Humaira Contemporary (AHC) mempertahankan tindakan syarikat butik tudung itu membatalkan kontrak Duta Tudung yang digalas oleh pelakon, Arbaiyah Abdul Manan atau yang lebih dikenali sebagai Abby Abadi baru-baru ini.
Al-Humaira Contemporary berkata, keputusan tersebut diambil kerana objektif sebenar perniagaan pihaknya kini tidak lagi selari dan tidak mencapai matlamat diharapkan.
Menerusi kenyataan di Facebook AHC, yang diposkan Isnin lalu, pengurusan Al-Humaira Contemporary menjelaskan bahawa pihaknya terkilan kerana dituduh oleh pelbagai pihak dengan kata-kata kurang elok, cacian dan ugutan yang diterima daripada peminat selebriti itu selepas Abby menaikkan status mengenai isu penamatan kontrak Duta Tudung di laman Twitternya, baru-baru ini.
Al-Humaira Contemporary tidak menyebut nama Abby tetapi merujuk kepadanya melalui tulisan “seorang artis yang baru beberapa bulan bertudung yang juga merupakan bekas duta AHC."
Kenyataan Al-Humaira Contemporary menambah, “tindakan untuk menamatkan kontrak beliau tiada kaitan dengan penolakan kami kepada ajaran Islam atau pun menolak konsep rezeki ALLAH seperti yang diperkatakan oleh pengikut beliau.”
“Cuma objektif sebenar kontrak yang telah kami tandatangani sebenarnya tidak mencapai matlamat seperti yang kami harapkan dan pihak kami sebenarnya berhak mengikut undang-undang untuk menamatkan kontrak pada bila-bila masaselaras mengikut situasi dan keadaan,” kata kenyataan syarikat tersebut.
Al-Humaira Contemporary turut berharap semua pihak akan menghormati keputusan yang telah dibuat syarikat berkenaan.
Dalam satu mesej Twitter semalam, susulan kepada entri sebelum itu, Abby yang menyertai Pas baru-baru ini sebagai ahli seumur hiudp berkata, dia menerima penamatan kontraknya sebagai Duta Tudung dengan terbuka.
“Tentang kontrak Duta Tudung tu, takpe sahabat-sahabat ku, rezeki di mana-mana.  Saya terima itu memang bukan rezeki saya.  Insya-ALLAH, ada je rezeki lain nanti,” kata beliau menerusi laman Twitternya semalam.
Abby yang terkenal dengan gelaran Inspektor Haliza menerusi drama Gerak Khas, menyerahkan borang keahlian bulan lalu.
Abby menyatakan kesungguhan beliau mendekati Pas adalah kerana parti itu ikhlas memperjuangkan Islam berdasarkan al-Quran.

No comments:

Post a Comment