Thursday, August 2, 2012

Kemas didakwa tipu tawar kerja, bapa mahu saman



Khairil Abdul Rahim, 01 Ogs 2012

BERA: Seorang bapa bertekad mengheret Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ke mahkamah yang didakwa menjanjikan kerja kepada anaknya yang kini terpaksa menanggung malu.



Kakitangan Majlis Daerah Bera Johari Ismail, 50, dari Kampung Batu Papan dekat sini, berkata anaknya Akqramah Johari, 22, telah menjalani temuduga sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S 17 pada 16 Ogos 2011 di Kuantan.



“Pada 29 Jun lalu saya telah dihubungi oleh seorang pegawai bahagian perjawatan Kemas negeri mengatakan anak saya telah berjaya dalam temu duga dan akan di tempatkan di Parlimen Cameron Highland.



“Dengan jelas dia mengatakan surat tawaran akan menyusul pada awal bulan Julai. Bukan kepalang lagi gembiranya anak saya memberitahu rakan-rakannya dan terus meletakkan jawatan sebagai pembantu kedai.



“Setelah sebulan berlalu surat tak sampai juga, pada 31 Julai anak saya menelefon pula pegawai berkenaan. Yang memeranjatkan, dia kata anak saya tak berjaya (dalam temuduga) tetapi tidak memberi sebarang alasan,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.



Johari yang juga pesara polis berkata, berikutan dengan itu anak keempatnya dari enam beradik itu terpaksa menanggung malu dan sedih setelah kawan-kawan sekerja dan sekampung telah meraikan kejayaan kononnya memperolehi pekerjaan baru dengan kerajaan.



Tambahnya, beliau percaya pegawai yang menghubunginya dulu bukan main-main dan menurut sumber yang beliau sendiri selidiki ada kemungkinan jawatan yang sepatutnya diisi anaknya disabotaj oleh pihak tertentu.



Sehubungan dengan itu, beliau telahpun membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Bahagian Perhubungan Awam ibu pejabat Kemas Kuala Lumpur bagi memohon satu siasatan demi keadilan.



“Saya redha jika jawatan berkaitan Bina Insan itu bukan milik anak saya tetapi demi keadilan dan maruah anak saya, saya terpaksa bertindak supaya perkara ini tidak sewenang-wenangnya menimpa orang lain kelak,” tegasnya yang datang bersama isteri dan Akqramah.



Akqramah yang ditanya perasaannya, mengatakan malu untuk berdepan dengan orang ramai dan merasa sedih kerana masa depannya untuk terus hidup dipermainkan sebegitu rupa tanpa rasa tanggungjawab oleh kakitangan kerajaan sendiri.



Kemas ialah sebuah jabatan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.



Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bera Musaniff Abdul Rahman yang turut hadir berkata, kes tersebut sebagai satu penganiayaan.



“Dia (Akqramah) orang kampung, apabila kakitangan kerajaan telefon sudah tentulah dia akan percaya seratus peratus dan menaruh harapan tinggi. Bila itu pekerjaan tetap sudah tentu dia rasa bangga dan mahu berkongsi kegembiraan denga kawan-kawan.



“Tapi apabila terbukti itu satu penipuan tentu dia menanggung rasa aib yang besar dan rasa dipermain-mainkan,” katanya.



Musaniff berkata, PAS Bera akan cuba membantu kes Akramah ini termasuk cuba mencarikan peguam jika didapati ada unsur penipuan dan tidak telus dalam hal berkenaan.

No comments:

Post a Comment