Sunday, August 5, 2012

Tokoh Perjuangan Kemerdekaan - Dr Burhanuddin Helmy



Dr Burhanuddin adalah antara orang-orang kuat dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Antara tokoh-tokoh penting yang lain dalam PKMM ialah Pak Sako, Mokhtaruddin Lasso, dan Ahmad Boestaman. PKMM adalah parti kedua di Tanah Melayu yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Parti pertama adalah Kesatuan Melayu Muda, KMM yang ditubuhkan pada tahun 1938.

Sesetengah orang salah faham dengan menganggap UMNO adalah parti pertama yang membela nasib bangsa Melayu. Padahal begitu banyak lagi parti-parti Melayu sebelum UMNO seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA), dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) yang menjadi sayap utama kepada PKMM.

Tetapi malangnya, kita seolah-olah hanya melihat jasa UMNO tanpa mengetahui jasa-jasa yang ditaburkan oleh parti-parti dan pejuang-pejuang yang sebelumnya. Tanpa hembusan api patriotik dari mereka, UMNO ketika itu pasti tidak boleh berjaya. Namun, kita tetap lupa. Tepat apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir: “Melayu mudah lupa”. Dan oleh kerana UMNO adalah parti utama orang-orang Melayu hari ini, maka makin ramai ahli-ahlinya yang semakin lupa kepada sejarah tepat bangsa kita yang semakin membonyot layu ini.

Berbalik kepada kisah Dr Burhanuddin al-Helmi ini, beliau telah mengalami sepak terajang kemelut kemerdekaan yang berbagai-bagai, seperti dituduh sebagai radikal dan bersifat pengganas oleh British. Malah pada tahun 1948, ramai ahli PKMM dan API yang ditangkap dan dipenjarakan. Dipendekkan cerita, Dr Burhanuddin al-Helmi ini juga merupakan Presiden PAS yang ke-3 selepas Dr Hj Abbas Alias.
 

No comments:

Post a Comment