Saturday, September 8, 2012

2 pelajar kolej serah diri


KUALA LUMPUR: Dua pelajar lelaki kolej swasta di Selangor yang menyertai perhimpunan Janji Bersih pada malam 30 Ogos lalu dan mengibarkan bendera baru untuk menggantikan Jalur Gemilang akhirnya menyerah diri, petang semalam.
Gambar mereka yang diedarkan polis bersama enam individu lain, Selasa lalu, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ditemani peguam masing-masing pada jam 2.30 petang, sebelum ditahan bagi merakamkan keterangan dalam membantu siasatan mengikut Akta Hasutan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria berkata, dengan penahanan dua individu itu, tinggal seorang wanita saja masih diburu kerana dipercayai terbabit insiden memijak gambar pemimpin negara ketika perhimpunan itu.

“Dua lelaki berkenaan yang seorang daripadanya adalah penulis blog Singa Selatan ditahan sebaik tampil ke balai polis selepas empat hari gambar mereka disiarkan dan penahanan mereka bagi membantu siasatan berhubung kejadian mempamerkan bendera baru untuk menggantikan Jalur Gemilang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana perbuatan yang boleh mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini, polis menahan tujuh individu berhubung tiga insiden yang berlaku pada malam ambang merdeka lalu.

No comments:

Post a Comment