Insiden 30 Ogos
Insiden meletakkan gambar pemimpin negara dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya di kawasan Dataran Merdeka Khamis lalu. – Foto ihsan Gossip Rakyat
SHAH ALAM - Tiga lagi individu yang dipercayai penganjur dan menyertai Himpunan Janji Demokrasi 30 Ogos lalu, dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung insiden memijak gambar pemimpin negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Susulan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said dan ahli jawatankuasanya, Maria Chin Abdullah diarah tampil memberi keterangan kelmarin, Ahli Jawatankuasa Gabungan Janji, Hishamuddin Rais dan dua pemimpin Pakatan Rakyat menerima notis untuk hadir di ibu pejabat polid daerah (IPD) Dang Wangi pada hari sama.

Menurut Hishamuddin, dia dan Naib Presiden PKR, Tian Chua serta Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, bakal hadir di IPD Dang Wangi pada jam 4 petang esok.

"Saya, Tian Chua dan Mat Sabu akan hadir ke IPD Dang Wangi esok jam 4 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online pagi ini.

Jelasnya, sejurus mendapat makluman daripada peguam berkenaan arahan itu, beliau terus merujuk kepada pihak polis untuk mendapatkan kenyataan secara langsung.

"Saya dimaklumkan oleh peguam kami berhubung arahan itu pada hari Pak Samad dan Maria Chin hadir ke IPD Dang Wangi.

"Apabila mengetahui hal tersebut, saya terus merujuk kepada pihak polis dan menetapkan waktu untuk kami hadir di IPD tersebut," katanya.

Maria Chin dan Pak Samad telah menerima notis di bawah Kanun Acara Jenayah agar hadir di IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan.