Dibelenggu masalah habuk
Beginilah keadaan jalan sejauh kira-kira 500 meter di lorong bukit Kampung Geliga yang menimbulkan masalah habuk kepada lapan rumah di sekitarnya.
KEMAMAN – Gara-gara jalan yang ditambun tidak ditar semula, lapan keluarga yang tinggal di lorong bukit Kampung Geliga, Chukai, dekat sini, dibelenggu masalah habuk teruk sejak setahun lalu dengan kawasan sekitar rumah dicemari debu.

Berikutan itu, ada antara penduduk diserang batuk berulang kali dan mengganggu keselesaan penduduk untuk bersantai di pekarangan rumah.

Lebih menyusahkan, mereka juga terpaksa menyembur air di kawasan jalan yang ditambun bagi mengurangkan masalah debu berterbangan.

Penduduk, Muda@Abu Bakar Salleh, 64, berkata, jalan sepanjang kira-kira 500 meter di depan rumahnya ditambun dengan batu kisar sekitar Ogos tahun lalu bagi menyelesaikan masalah air bertakung di laluan itu.

“Tetapi sejak ditambun, jalan ini tidak diturap dengan tar semula menyebabkan timbul pula masalah debu yang teruk. Apabila waktu panas dan ada kenderaan yang melalui jalan ini dengan laju, debu akan berterbangan.

“Jadi kami merayu agar jalan di sini dapat segera diturap demi keselesaan penduduk. Sebelum ini kami dibelenggu masalah air bertakung tetapi kemudian timbul masalah debu pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, akibat masalah debu itu kawasan lantai di anjung rumahnya perlu sentiasa dibersihkan dan kereta pula terpaksa dicuci banyak kali dalam sehari selain cermin rumah juga diselaputi debu tebal.

Kalau cuaca panas terik, sebanyak dua kali sehari cermin rumahnya terpaksa dilapkan bagi menjaga kebersihan rumah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Geliga, Mat Saat@Puteh Abdullah berkata, laluan di lorong bukit itu masih tidak ditar kerana projek sistem saliran dan perparitan masih belum dibina di kawasan itu.

“Sebelum ini, kawasan jalan itu mengalami masalah air bertakung sebab apabila hari hujan, air dari bukit mengalir ke bawah dan bertakung di kawasan berkenaan. Tindakan menambun jalan itu menjadi lebih tinggi adalah sebagai langkah sementara bagi mengatasi masalah air bertakung.

“Justeru saya memohon kepada pihak berkaitan agar segera membina sistem longkang di kawasan jalan itu. Kalau jalan ditar terlebih dahulu sebelum longkang dibina tidak guna juga kerana dikhuatiri tar akan pecah semula,” katanya.