Protes umat Islam
Penyokong Tehreek Hurmat e Rasool mengadakan tunjuk perasaan di Lahore, Pakistan. - Foto EPA
ISLAMABAD - Stesen-stesen televisyen Pakistan mula menyiarkan iklan-iklan yang menunjukkan klip-klip berita Presiden Amerika Syarikat (AS) mengecam filem anti-Islam yang dihasilkan di negara itu.

Malah, iklan-iklan dibawa stesen televisyen negara itu juga membawa kenyataan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.

Iklan-iklan itu menekankan mesej pegawai-pegawai AS bahawa filem yang "keji" itu bukan dibuat oleh kerajaan negara itu, dan pada masa yang sama tiada kewajaran ke atas protes ganas yang meragut nyawa.

Protes ganas minggu lalu di Libya mengorbankan Duta AS, Christopher Stevens.

Laporan Associated Press berkata, Kedutaan AS menyifatkan ia satu pengumuman awam bagi menyampaikan mesej secara menyeluruh.

Jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland mengesahkan AS membelanjakan hampir AS$70,000 untuk membawa iklan 30 saat di tujuh stesen TV Pakistan.

Protes dan demonstrasi di Kedutaan AS di Pakistan berterusan semalam.