Thursday, September 27, 2012

Greece lancar mogok



Para penyokong Parti Komunis Greece berarak menuju bangunan Parlimen semasa mengadakan mogok di Athens, semalam. - REUTERS
ATHENS 26 Sept. - Kumpulan pekerja di Greece hari ini melancarkan mogok umum pertama sejak kerajaan perpaduan dibentuk pada Jun lalu.
Mogok besar-besaran itu dilancarkan ketika Greece bergelut untuk melaksanakan langkah penjimatan bagi menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung.
Mogok tersebut juga dijangka menjejaskan perkhidmatan penerbangan selama berjam-jam selain memaksa sekolah, perkhidmatan feri, hospital, kedai dan pejabat kastam ditutup.
Polis turut dikerah ke pusat bandar Athens bagi menghalang demonstrasi bertukar ganas seperti sebelum ini.
Tunjuk perasan kali ini dilihat sebagai ujian terhadap toleransi awam untuk menghadapi lebih banyak kesukaran, ekoran kemerosotan sokongan orang awam kepada parti politik yang mendominasi pemerintahan selepas dua tahun melaksanakan langkah penjimatan.
Greece terpaksa bergantung kepada pinjaman antarabangsa sejak pertengahan tahun ini ekoran dilanda krisis kewangan yang menyebabkan kejatuhan nilai mata wang euro.
Sementara itu di Sepanyol, seramai 38 orang ditahan, manakala 64 yang lain cedera apabila berlaku pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan, yang mengadakan demonstrasi menentang langkah penjimatan dan kenaikan cukai.
Kejadian itu berlaku ketika ribuan penunjuk perasaan berkumpul di bangunan Parlimen di Madrid, hari ini memaksa 1,000 anggota polis antirusuhan menghalang penunjuk perasaan memasuki bangunan tersebut.
Polis turut menggunakan cota bagi menghalang penunjuk perasaan, namun sebahagian daripada mereka bertindak melanggar sekatan polis dan melempar batu dan botol ke arah pasukan keselamatan. - AGENSI

No comments:

Post a Comment