JPJ
Abdul Rahman Emang Anyie (dua, kiri) memeriksa cukai jalan yang telah tamat tempoh seorang penunggang motosikal dalam Ops Pengarah di Jalan Gong Badak - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Individu yang tidak memastikan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan mereka dalam keadaan sah digunakan terdedah dengan risiko sukar mendapatkan tuntutan insurans sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.
  
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata masih ramai pengguna jalan raya dilihat kurang sedar tentang kepentingan dan akibat sekiranya mereka gagal memperbarui cukai jalan dan lesen memandu.
  
"Kita lihat pemilik kenderaan di negeri ini masih memandang remeh perkara itu tanpa mengambil kira risiko yang bakal hadapi selain kena tindakan saman.
  
"Tahap kesedaran khususnya berkaitan pembaharuan cukai jalan, insurans dan lesen memandu di negeri ini masih belum tinggi. Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilakukan oleh pihak berkuasa namun pengguna jalan raya seolah masih tidak mengendahkannya," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Ops Pengarah di sekitar Gong Badak, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata kegagalan mereka berbuat demikian bakal berhadapan dengan tindakan saman atau disita kenderaan mereka jika dikesan oleh pihak berkuasa.
  
Katanya dengan adanya operasi secara berterusan di beberapa kawasan tumpuan atau di sekitar jalan-jalan utama yang kerap berlaku kemalangan, pihak berkuasa yakin tahap kesedaran itu mampu meningkat.
  
Dalam operasi selama lima jam itu, sebanyak 264 kenderaan telah diperiksa dan 100 daripadanya telah diambil tindakan.
  
JPJ Teregganu juga mengeluarkan sebanyak 102 saman atas pelbagai kesalahan dan sebahagian besarnya membabitkan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh manakala lapan buah motosikal turut disita dalam operasi itu.
  
Dalam pada itu juga, Abdul Rahman berkata daripada 98 buah motosikal yang diperiksa, 36 daripadanya telah dikenakan tindakan manakala sejumlah 37 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. - Bernama