Thursday, September 27, 2012

Pemimpin Islam cabar Obama


       
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Pemimpin negara Islam semalam mendesak masyarakat antarabangsa bertindak menghentikan perbuatan menghina agama.

Berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam, pemimpin berkenaan sekali gus mencabar kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengenai kebebasan bersuara.
Dalam ucapannya kelmarin, Obama mengecam keras ‘keganasan dan sikap tidak bertoleransi.’

Katanya, pemimpin dunia mempunyai tugas untuk menyuarakan bantahan terhadap serangan ke atas rakyat Amerika sepanjang dua minggu lalu, berpunca daripada filem yang menghina Islam yang diterbitkan di AS.




Bagaimanapaun, pemimpin negara Islam berkata, negara Barat perlu bertindak untuk mengekang ‘Islamophobia’ selepas bantahan ganas meletus berikutan filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad (SAW).


Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, filem itu adalah satu lagi tindakan buruk dalam perbuatan menghina agama.

Susilo memetik kumpulan Perisytiharan Hak Asasi Universal sebagai berkata: “Kebebasan Bersuara adalah sesuatu yang tidak mutlak.”

Beliau menggesa diwujudkan satu mekanisme antarabangsa bagi menghalang secara berkesan perbuatan yang boleh mencetuskan permusuhan atau keganasan berdasarkan agama atau kepercayaan.

Raja Abdullah dari Jordan, sekutu rapat Amerika Syarikat juga mengecam filem itu dan keganasan yang berlaku.

Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari menyelar tindakan yang disifatkannya sebagai ‘mencetuskan kebencian’ terhadap masyarakat Islam dan mendesak Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak.

“Meskipun kita tidak boleh membiarkan keganasan, masyarakat antarabangsa tidak boleh menjadi pemerhati yang membisu dan tidak boleh menyalahkan tindakan yang memusnahkan keamanan serta mengancam keselamatan dunia dengan menyalahgunakan kebebasan bersuara,” katanya pada perhimpunan itu.

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengecam fanatik yang menerbitkan filem berkenaan hingga mencetuskan keganasan.

“Ancaman Islamophobia adalah fenomena yang membimbangklan dan mengancam keamanan,” katanya pada perhimpunan itu.

Presiden Mesir, Mohamed Mursi berkata, sepanjang empat dekad lalu, rakyat negaranya melihat darah Palestin mengalir.

“Mereka juga melihat pentadbiran AS berat sebelah terhadap kepentingan rakyat Palestin.

“Ini menimbulkan rasa benci terhadap AS . Tunjuk perasaan yang berlaku di Kaherah adalah luahan rasa marah dan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku.

“Kedutaan Amerika Syarikat diserang kerana ia mewakili simbol rakyat dan kerajaan AS,” katanya dalam wawancara dengan televisyen PBS baru-baru ini. - AFP

No comments:

Post a Comment