Rayu cari anak OKU hilang
Rayu cari anak OKU hilang
SHAH ALAM – “Pulangkan Syima, kami sangat merinduinya," demikian rintihan hati Salimon Arteri Yeop Harun, 64, bapa kepada Faizatul Syima, 27, yang keluar dari rumah di Taman Batu Muda, Batu Caves, sejak enam hari lalu.

Menurutnya, anak bongsunya itu yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) menghidap sindrom down keluar rumah ketika tinggal bersendirian pada 23 September lalu pada jam 7.30 malam.

“Pada hari kejadian, saya dan isteri pergi Klang dan meninggalkan Syima bersama abang, kakak ipar dan anak saudara, kebetulan mereka sekeluarga juga ingin keluar dan mengajak dia bersama namun dia menolak pelawaan tersebut.

“Bagaimanapun, ketika mereka bertolak, Syima berkemungkinan mengubah fikiran sedang bersiap untuk ikut dan apabila mendapati tiada sesiapa di rumah dia bertindak keluar dari rumah mencari mereka dengan membawa gugusan kunci rumah dan kunci kereta,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Salimon berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai usaha mengesan Syima dengan melaporkan kepada polis, mengedar risalah dan mengadakan rondaan di kawasan kejiranan namun anaknya masih gagal ditemui.

"Kami juga ada menampal risalah di premis perniagaan di sekitar Batu Caves dan ada laporan mengatakan Syima dilihat bersama seorang wanita separuh abad yang tidak dapat dikenal pasti bangsanya di Bistro Esfan, Batu Caves.

“Menurut pekerja restoran tersebut, dia ada nampak Syima dan wanita itu pada kali pertama jam 3 pagi dan keesokan harinya pada jam 2 pagi, bagaimanapun selepas ternampak risalah yang dilekatkan mereka tidak lagi mengunjungi restoran itu,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Asmah Mohamad Ali, 63, berkata, dia merayu kepada sesiapa yang menemui Syima agar memulangkan kembali anaknya dalam keadaan selamat.

Katanya, Syima ketika hilang memakai baju T, seluar panjang dan bertudung.

Dalam pada itu Balai Polis Jinjang, mengesahkan menerima laporan kehilangan gadis tersebut dan masih menyiasat kes berkenaan.

Orang ramai yang ternampak Faizatul Syima sila hubungi balai polis berdekatan atau bapanya di talian 012-77108897.