Thursday, September 27, 2012

Iran pamer dron jarak jauh




         
TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran semalam mempamerkan pesawat tanpa juruterbang jarak jauh buatan tempatan.

Televisyen Iran melaporkan, dron berkenaan boleh menjejaki kebanyakan negara di Asia Barat, termasuk musuh ketatnya, Israel.
Pesawat itu yang dinamakan Shahed 129 mempunyai kemampuan terbang sejauh 2,000 kilometer dan berupaya membawa bom dan peluru berpandu, kata laporan itu.

Ia bagaimanapun tidak memberi butir lanjut mengenainya.




Israel mengancam untuk bertindak terhadap loji nuklear Iran, meningkatkan spekulasi mengenai serangan tentera sebelum pilihanraya Presiden Amerika Syarikat November depan.


Rejim Zionis itu mengkritik pendirian Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang mahukan sekatan antarabangsa ke atas Iran dan usaha diplomatik diberi masa bagi menyekat Iran daripada memperoleh senjata nuklear.

Iran menolak dakwaan ia berusaha menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya, sebaliknya berkata, program itu bertujuan untuk menjana bekalan elektrik.

Ketua Cawangan Angkasa Lepas Pengawal Revolusi, Amir Ali Hajizadeh dipetik sebagai berkata Ahad lalu, Iran mungkin melancarkan serangan ke atas Israel sekiranya negara Yahudi itu bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atasnya.

Bercakap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York kelmarin, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, berkata, Israel tidak mempunyai asas di Asia Barat dan perlu ‘dihapuskan.’ - Reuters

No comments:

Post a Comment