Antara peminta sedekah warga asing yang cuba meminta simpati pengguna jalan raya.
Antara peminta sedekah warga asing yang cuba meminta simpati pengguna jalan raya.
JALAN MERU - Bermodalkan muka sedih sambil merayu-merayu meminta simpati, warga asing meminta sedekah daripada orang awam terutamanya pemandu kenderaan di beberapa lokasi di sini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi di Klang, mendapati perbuatan meminta sedekah semakin menjadi-jadi.

Kebanyakan golongan peminta sedekah berusia sekitar 40-an hingga 70-an itu menjadikan persimpangan lampu isyarat sebagai lubuk rezeki ketika pemandu kenderaan berhenti semasa lampu merah.

Dengan berpakaian ala islamik, mereka akan bergerak dari sebuah kenderaan ke kenderaan lain sambil mengetuk cermin kereta sambil memohon simpati supaya diberikan wang.

Pengguna, Suraya Izhar, 28, berkata, kegiatan meminta sedekah itu semakin berleluasa di persimpangan lampu isyarat terutamanya Bandar Bukit Tinggi, Klang Parade dan Jalan Meru

"Peminta sedekah pula bukan seorang tetapi ramai tidak kira lelaki atau wanita. Mereka akan berdiri di tepi jalan tanpa mengira masa sekalipun panas terik.

“Saya perhatikan ada pemandu kenderaan yang bersimpati dengan mereka memberikan wang dan tidak kurang juga sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun katanya, tindakan pengguna memberikan wang mendorong lebih ramai peminta sedekah muncul di kawasan itu.

"Bersimpati memang bagus tetapi biarlah pada tempatnya, jika tidak ia hanya akan menyebabkan aktiviti meminta sedekah semakin menjadi-jadi.

“Sikap masyarakat yang terlalu pemurah dan mudah bersimpati mendorong aktiviti itu berleluasa,” katanya.

Dalam pada itu, Suraya menggesa pihak berkuasa menangani aktiviti tidak sihat itu yang dilihat menjadi rutin harian sebagai cara mudah mendapatkan wang.

"Mereka mengambil kesempatan dengan sikap pemurah masyarakat dan ia perlu ditangani kerana secara tidak langsung aktiviti meminta sedekah itu menjejaskan imej sesebuah kawasan.

"Jangan biarkan peminta sedekah yang sihat tubuh badan boleh mencari rezeki dengan bekerja menjadikan aktiviti meminta sedekah sebagai kerjaya," katanya.

Difahamkan, peminta sedekah juga semakin berani menadah tangan daripada orang awam di restoran dan gerai makan, bagaimanapun mereka terdiri daripada kanak-kanak yang menjual tisu serta pelekat ayat suci al-Quran.