Sunday, September 9, 2012

Tentera diarah kawal kawasan penduduk Buddha daripada diserang

DHAKA 1 Okt. - Bangladesh hari ini, menghantar pasukan tentera ke kawasan penduduk Buddha selepas berlaku serangan di tokong dan kediaman mereka ekoran penyiaran gambar yang mengutuk agama Islam di laman sosial Facebook.
Sekurang-kurangnya lima tokong Buddha diserang di kawasan yang berasingan di Cox Bazaar semalam dengan beribu-ribu penunjuk perasaan beragama Islam memusnahkan beberapa patung Buddha sebelum polis antirusuhan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.
"Kami terpaksa melepaskan peluru getah untuk menyuraikan keadaan,'' kata Timbalan Ketua Polis Wilayah Tenggara, Faruk Ahmed.
Katanya lagi, seramai 107 orang telah ditahan berhubung kes keganasan yang berlaku semalam
"Ini merupakan serangan terancang, kami tidak akan menyembunyikan sesiapa sahaja yang memainkan peranan penting dalam serangan itu,'' kata Faruk.
Sekurang-kurangnya lima buah rumah musnah terbakar selepas 25,000 orang penunjuk perasaan merusuh di Ramu, daerah Cox Bazaar dengan memusnahkan tokong Buddha dan membakar beberapa buah rumah lagi pada malam Sabtu.
Rusuhan itu kemudian merebak ke Patia, dengan penunjuk perasaan bertindak menyerang dan memusnahkan rumah penduduk yang dihuni penganut Buddha di luar bandar pelabuhan di Chittagong.
Faruk berkata, tentera juga melakukan rondaan di kawasan Buddha dan tokong di Cox Bazaar untuk menghalang keganasan itu kembali berlaku.
"Tentera dan juga pengawal sempadan telah dikerah ke tempat bermasalah,'' katanya sambil menambah keadaan di kawasan tersebut kelihatan tenang tetapi tegang.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Mohiuddin Khan Alamgir menuduh pembabitan pelarian Muslim Rohingya dalam serangan ke atas tokong dan kediaman masyarakat Buddha di tenggara negara ini.
Selain masyarakat Rohingya katanya, parti pembangkang turut terbabit dalam serangan itu yang disifatkannya sengaja menjejaskan keharmonian negara ini. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121002/lu_03/Tentera-diarah-kawal-kawasan-penduduk-Buddha-daripada-diserang#ixzz289XKEKkh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment