Thursday, September 6, 2012

Penulis buku No Easy Day boleh didakwa



Buku No Easy Day yang ditulis bekas anggota komando terlibat dalam operasi membunuh Osama bin Laden, Matt Bissonnette, yang mula dijual, dipamerkan di sebuah kedai buku di Washington D.C, kelmarin. - AFP
WASHINGTON 5 Sept. - Bekas anggota komando Amerika Syarikat (AS) yang menulis buku mengenai pengalamannya terlibat dalam serangan yang membawa kepada pembunuhan Osama bin Laden, berdepan dakwaan jenayah.
Amaran Pentagon itu dikeluarkan, semalam selepas Pemerintah Khas Perang Tentera Laut, Laksamana Muda Sean Pybus menyuarakan pandangan mengenai sesetengah komando bersara atau masih menganggotai badan itu yang cuba mendapatkan wang atas kemasyhuran mereka.
"Saya sangat kecewa, malu dan memandang serius perkara ini," ujar Pybus melalui surat yang dihantar kepada anggota tentera, mengecam sikap sesetengah mereka yang menjaja maklumat mengenai misi menentang musuh nombor satu negara itu.
Namun, masih belum jelas sama ada kerajaan akan mengenakan dakwaan jenayah terhadap penulis buku, Matt Bissonnette, yang merupakan antara komando terlibat dalam operasi pada Mei tahun lalu di Abbottabad, Pakistan.
Buku bertajuk No Easy Day itu mula dijual semalam, ditulis menggunakan nama penanya, Mark Owen.
Jabatan Pertahanan AS, sebelum ini mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Bissonnette, namun ditangguhkan berikutan tidak pasti sama ada buku itu mendedahkan rahsia negara.
No Easy Day mencetuskan kontroversi apabila ia mendedahkan bahawa misi membunuh Osama jauh bercanggah dengan kenyataan White House.
Menurut buku itu, Osama sudah mati ketika pasukan elit tentera laut AS menyerbu bilik tidurnya di sebuah banglo di Abbottabad, bercanggah dengan kenyataan rasmi White House tentang kematian bekas pemimpin al-Qaeda itu. - AFP

No comments:

Post a Comment