Thursday, September 6, 2012

Sejarah bendera rakyat

Bendera Rakyat telah dikibarkan secara rasmi di seluruh Malaya pada 10 Disember 1947. Menurut akhbar Utusan Melayu bertarikh 11 Disember 1947, hampir semua bandar-bandar dan pekan-pekan termasuk Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Sungai Siput, Alor Setar dan Singapura telah mengadakan istiadat menaikkan bendera tersebut.

Akhbar Utusan Melayu telah melaporkan semasa istiadat mengibarkan Bendera Rakyat di bangunan Malayan Democratic Union (MDU) di Singapura pada pagi 10 Disember 1947, Taha Kalu, Setiausaha Agung Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) telah menerangkan:

"Bendera Rakyat yang baru kita naikkan ini ialah sebagai cogan persatuan rakyat yang berjiwa maju progresif. Bendera ini telah sama-sama diukir dan diputuskan oleh dua badan gabungan yang besar di Malaya, iaitu Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Bergerak Serentak Se-Malaya (AMCJA). Bendera ini kita namakan Bendera Rakyat, kerana ia adalah satu gambaran atau satu tanda, tegasnya satu cogan merupakan persatuan rakyat seluruh Malaya. Persatuan yang kita yakini akan bertahan kuat perdiriannya tiap-tiap hari."

Maksud disebalik simbol-simbol dalam Bendera Rakyat:

1. 12 biji bintang simbol 12 negeri yang bergabung di Malaya - 9 Negeri Melayu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Perlis, Kelantan, Kedah, Johor) dan 3 Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, Singapura).

2. Warna kuning bintang simbol keadilan dan kedaulatan rakyat, pengiktirafan Perlembagaan Rakyat dan membayangkan semua negeri dalam keadaan aman dan makmur.

3. Bintang berbucu lima melambangkan 5 perkara: Ketuhanan, Kedaulatan Rakyat, Keadilan sosial, Kebajikan dan Kebangsaan.

4. Warna merah simbol keberanian dan kuasa kemahuan rakyat untuk menentang semua rintangan-rintangan supaya tercipta keadilan dan demokrasi di Malaya.

5. Warna putih simbol perjuangan yang didasarkan kepada kejujuran dan kesucian untuk mencapai kebebasan yang teratur dan tidak berdasarkan kepada haloba dan tamak, tetapi hanya dengan membawa cita-cita yang satu iaitu pemerintahan sendiri yang berdasarkan kepada kedaulatan rakyat.

Warna Merah Putih mempunyai riwayat yang tertentu bagi penduduk-penduduk di Malaya dan telah dipilih dengan persetujuan PUTERA dan AMCJA kerana ia merupakan warna bendera kebangsaan Melayu di zaman Kerajaan Majapahit semasa abad yang keempat belas dahulu.

Sumber: Akhbar Utusan Melayu, 11 Dis 1947 dan akhbar The Straits Times, 11 Nov 1947

No comments:

Post a Comment