Thursday, September 6, 2012

Perancis mahu gali mayat Arafat



Gambar fail merakamkan Arafat mengucapkan selamat tinggal kepada penyokongnya semasa menaiki helikopter tentera Jordan di Muqatta, yang merupakan pejabatnya di Ramallah, Tebing Barat pada 29 Oktober, 2004 menuju ke Amman sebelum berlepas ke Paris bagi mendapatkan rawatan. - AFP
PARIS 5 Sept. - Tiga hakim Perancis yang terlibat dalam siasatan berhubung kematian bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat, bakal pergi ke Tebing Barat untuk proses penggalian mayat pemimpin Palestin itu.
Hakim-hakim itu, bagaimanapun perlu mendapat kebenaran Israel dan Palestin terlebih dahulu, walaupun Presiden Mahmoud Abbas dilapor telah menyatakan persetujuan kerajaannya untuk kerja-kerja penggalian itu.
Balu Arafat, Suha dalam satu kenyataan hari ini berkata, sekiranya rancangan itu mendapat lampu hijau, pasukan polis saintifik Perancis akan mendapatkan sampel daripada mayat Arafat supaya siasatan lanjut boleh dijalankan.
"Para hakim terlibat memberitahu peguam saya bahawa mereka telah mengambil langkah yang perlu untuk pergi ke Ramallah.
"Saya dengan penuh hormat turut meminta pihak Palestin dan Liga Arab supaya menghentikan sementara semua siasatan bagi memberi laluan kepada pihak kehakiman Perancis mengendalikan kes itu," katanya dalam satu kenyataan kepadaReuters.
Suha berkata, siasatan berhubung dakwaan pembunuhan Arafat oleh Perancis perlu diberi keutamaan kerana ia bersifat bebas dan neutral.
Bulan lalu, pendakwa raya Perancis membuka siasatan terhadap kematian Arafat, 75, berikutan dakwaan pemimpin itu mati diracun akibat bahan radioaktif polonium pada 2004.
Dakwaan itu dibangkitkan selepas stesen satelit al-Jazeera menyiarkan siasatan oleh pakar Switzerland yang menemui kandungan polonium yang tinggi pada barangan peribadinya.
Polonium adalah bahan tinggi toksik yang jarang dijumpai di luar kawasan saintifik dan ketenteraan.
Ia pernah digunakan bagi membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko, pada 2006 sejurus selepas dia minum teh yang mengandungi racun berkenaan. - REUTERS/AFP

No comments:

Post a Comment