Thursday, October 4, 2012

Filipina laksana undang-undang siber



SKRIN sebuah laman web pemerintah Filipina yang digodam dirakamkan seorang jurugambar di sebuah kafe internet di Manila semalam.


MANILA - Satu undang-undang baharu bagi membendung jenayah siber berkuatkuasa di Filipina semalam walaupun terdapat bantahan bahawa ia akan menyebabkan berlakunya penindasan terhadap kebebasan internet.
Beberapa penggodam daripada kumpulan yang dikenali sebagai Anonymous Philippines menyerang lebih 12 laman web pemerintah sejak hujung minggu lalu bagi menuntut undang-undang itu dirombak atau dibatalkan.
Bantahan terhadap undang-undang itu turut disertai oleh sejumlah pertubuhan hak asasi manusia, peguam, organisasi media dan penulis blog di negara ini.
Mereka telah mengemukakan sekurang-kurangnya lapan petisyen kepada Mahkamah Agung Filipina bagi membatalkan undang-undang tersebut yang didakwa bercanggah dengan perlembagaan.
Ramai pengguna Facebook dan Twitter di Filipina menggantikan gambar profil mereka dengan skrin hitam sebagai tanda bantahan terhadap undang-undang berkenaan.
Menurut pemerintah, undang-undang itu bertujuan untuk membendung gejala seks siber, pornografi kanak-kanak, kecurian identiti dan penipuan.
"Akta Pencegahan Jenayah Siber diluluskan Kongres bagi menangani kebimbangan berhubung perbuatan jenayah di internet dan kesannya," kata jurucakap presiden, Edwin Lacierda.
Beliau turut mengkritik penggodam-penggodam kerana merosakkan laman web pemerintah.
Menerusi undang-undang tersebut, para pengguna internet yang didapati bersalah melakukan fitnah di alam siber boleh dihukum penjara sehingga 12 tahun. - dpa

No comments:

Post a Comment