Mazlan Aliman
Mazlan Aliman
SENAI – "Saya tak akan minta maaf dan bersedia hadapi sebarang kemungkinan," demikian tegas Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, semalam.

Mazlan berkata demikian menjawab kata dua Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mahu beliau meminta maaf kerana membuat tuduhan melulu terhadapnya berhubung projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang.

“Saya tidak kata dirinya (Azalina) terlibat dalam projek itu. Apa yang saya sebut ialah, selaku Ahli Parlimen, beliau mempunyai alasan dan sebab mengenai pembangunan itu dilakukan di kawasan perkampungan penduduk.

“Saya tidak akan minta maaf. Jika dia rasa ada sebab untuk saman, itu hak dia, hak demokrasi," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Mazlan, beliau tidak 'makan' ugut dan akan terus mendedahkan apa sahaja maklumat yang diperoleh.

"Saya bukan budak kecil yang takut, dan ia tidak akan membuatkan saya terhenti untuk terus membuat pendedahan yang saya andaikan satu sandiwara dan lakonan. Saya akan dedahkan pada bila-bila masa,” katanya.

Mazlan turut menjelaskan, beliau telah turun padang ke Pengerang sejak setahun lalu dan berdasarkan maklumat yang diterima menerusi penganalisis dan penyelidik di situ, pembangunan projek yang sama di Kertih, Terengganu dan Bintulu, Sarawak perlu dicontohi kerana tidak mengorbankan penempatan penduduk kampung.

“Ditegaskan, saya tidak menolak pembangunan, namun projek itu jelas dibangunkan di kawasan yang mempunyai penduduk, bukan di Kampung Abdul Ghani Othman, yang tanahnya milik kerajaan,” katanya.

Kelmarin, Azalina berkata, tuduhan Mazlan berniat jahat dan berunsur fitnah dan beliau akan fail saman terhadapnya dan mana-mana portal yang menyokong kenyataan pemimpin Pas itu berhubung isu projek Rapid.

“Tuduhan yang dia (Mazlan) buat di depan rakyat Pengerang seolah-olah saya yang harus bertanggungjawab. Bagi saya itu adalah niat jahat dan saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengkaji teks ucapannya,” katanya.