Thursday, October 25, 2012

Pas desak Soi Lek mohon maaf

Leonard Tan Soon Huat -  Idris Ahmad - Khairul FaiziSetiausaha Pemuda MCA, Leonard Tan Soon Huat (kiri) menerima memorandum bantahan oleh ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad dan Khairul Faizi sambil disaksikan oleh K
KUALA LUMPUR - Pemuda Pas Pusat hari ini mendesak Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya memohon maaf kepada umat Islam di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum Islam secara terbuka.

Setiausaha Pemuda Pas Pusat, Khairul Faizi memberi tempoh seminggu kepada Presiden MCA itu untuk mengemukakan permohonan maaf.

Sekiranya Soi Lek enggan berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

"Satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat jika Soi Lek berdegil tidak mahu minta maaf.

"Kami juga akan berbincang dengan para peguam untuk mempertimbangkan tindakan mahkamah jika perlu," kata Khairul kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kenyataan Presiden MCA yang menghina Islam di pekarangan Wisma MCA di sini hari ini.

Seramai 150 penyokong Pakatan Rakyat turut sama menyatakan bantahan terhadap kebiadapan bekas Menteri Kesihatan itu.

Dalam pada itu, Jingga 13 yang diwakili setiausahanya, DK Vicky turut menyerahkan memorandum secara berasingan mendesak  Soi Lek dan MCAS memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong serta umat Islam.

Tegasnya, Soi Lek perlu menghentikan penghinaan ke atas Islam dan hudud sambil menyifatkan perbuatannya melampau dan mencabar sensitiviti umat Islam.
Dalam pada itu, ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad menyelar sikap tidak bertanggunjawab Soi Lek, yang menurutnya sengaja menyalakan api permusuhan antara agama.
Katanya, tindakan beliau cubaan meraih kembali sokongan kaum Tionghua kepadanya.
“Dalam 10 orang Cina yang saya temui, seorang pun tidak mahukan Chua Soi Lek," katanya di hadapan 150 penyokong Pakatan Rakyat sebelum menyerahkan memorandum bantahan terhadap Presiden MCA itu.
Idris menambah, Pas yang memerintah Kelantan selama 22 tahun pun tidak pernah menekan orang Cina, jauh sekali menghina dan memperlekehkan agama anutan mereka.
“Chua Soi Lek bukan saja mata buta, tapi hati buta semata-mata kepentingan politik sokongan dia,” tegasnya.
Idris menggesa semua rakyat Malaysia termasuk orang bukan Islam supaya menolak Umno-Barisan Nasional serta parti komponennya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) susulan kebiadapan Soi Lek.

No comments:

Post a Comment