Thursday, October 25, 2012

Perintah berkurung di Rakhine


       
YANGON: Pihak berkuasa Myanmar semalam mengeluarkan arahan perintah berkurung pada waktu malam di sekurang-kurangnya dua bandar di Rakhine ekoran keganasan terbaru antara penduduk Islam dan Buddha.

Lebih 80 orang terbunuh dalam keganasan di tempat sama Jun lalu.
Media rasmi kerajaan Myanmar semalam melaporkan, dua orang terbunuh dan lapan cedera dalam keganasan terbaru yang berlaku sejak Ahad lalu sementara 1,039 rumah dibakar.

Bagaimanapun, menurut laporan daripada sumber lain, jumlah kematian adalah lebih tinggi.


Jurucakap Kerajaan Tempatan Rakhine, Hla Thein berkata, perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar Minbya dan Mrauk Oo.


Polis yang bersenjata lengkap dikerah meronda.

Menurut satu sumber, keganasan juga meletus di bandar Myay Bone.

“Penduduk Islam menyediakan bot untuk melarikan diri tetapi mereka dikejar oleh penduduk Buddha yang kemudian bertindak membakar bot berkenaan,” kata sumber itu.

Seperti keganasan yang meletus Jun lalu, setakat ini tidak dapat dipastikan punca keganasan terbaru itu.

Sementara itu, ratusan pelajar Buddha Myamar mengadakan tunjuk perasaan untuk mendesak kerajaan mengusir penduduk Islam.

Mereka juga menyuarakan keengganan untuk belajar bersama pelajar Islam Myanmar serta mendesak kerajaan menghapuskan perkampungan Islam yang terletak di sepanjang laluan ke universiti mereka. - Agensi

No comments:

Post a Comment