Mustafa Abu Shagur
Mustafa Abu Shagur
TRIPOLI - Perdana Menteri Libya yang baru dipilih, Mustafa Abu Shagur telah dipecat selepas gagal buat kali kedua untuk mendapatkan kelulusan Parlimen membentuk barisan Kabinetnya.
Mustafa dilaporkan telah memutuskan untuk membentuk kerajaan 'sementara' yang terdiri daripada hanya 10 menteri.
Kongres Nasional Am (GNC) mengundi 125 menyokong dan 44 membantah cadangan Mustafa itu.
Mustafa merupakan perdana menteri yang pertama dipilih selepas Kol Muammar Gaddafi yang memimpin Libya selama empat dekad digulingkan.
Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah pemimpin sementara Abdurrahim al-Keib.
Tawaran kedua dan terakhir Mustafa hanya mempunyai 10 kementerian berbanding 29 yang dikemukakan minggu lalu.
Cadangan barisan Kabinet pertama Mustafa telah ditolak Khamis lalu atas alasan ia tidak mewakili wilayah-wilayah penting dan kurang anggota yang layak.
Berdasarkan laporan BBC, bandar-bandar utama seperti Zawiya, Benghazi dan Misrata, yang kehilangan ramai pejuang ketika kebangkitan menggulingkan Muammar tahun lalu, menuntut agar diberi ruang perwakilan yang lebih besar dalam kerajaan baru.
Ketika sesi perbahasan Parlimen, penunjukkan perasaan, kebanyakan dari  Zawiya menyerbu pejabat GNC di sini sambil menggesa Mustafa letak jawatan.
Mustafa pada awalnya mahu membentuk kerajaan perpaduan, yang menurutnya dianggotai oleh mereka yang ada merit dan boleh bekerja dengannya.