Tuesday, November 27, 2012

4 didakwa bunuh suami diplomat AS

MANILA: Polis Filipina semalam berkata, mereka telah mendakwa empat lelaki kerana menikam suami diplomat Amerika Syarikat hingga mati dalam satu pergaduhan di luar satu kawasan eksklusif di sini.

Bapa kepada tiga anak itu sedang berjalan ketika ternampak pengawal keselamatan memeriksa kad identiti suspek yang berada dalam satu kenderaan utiliti sukan mewah, kata polis.
Ketua Polis Manila, Superintendan Kanan, Manuel Lukban berkata, mangsa ikut sama bercakap dengan suspek yang tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas untuk kawasan itu, menyebabkan mereka bertengkar dan akhirnya bergaduh.

“Keempat-empat lelaki itu mahu beredar apabila mangsa mengetuk cermin tingkap. Suspek kemudian turun dari kereta dan memukul lalu menikam mangsa di belakang dan dibahu,” katanya.


Lukban berkata, mangsa berbangsa Amerika Syarikat itu mati di hospital.

Penyerang cuba melarikan diri tetapi pengawal keselamatan segera memberitahu polis berdekatan dan berjaya menangkap mereka.

Sebilah pisau ala tentera dirampas dari penyerang.

Lukban berkata, semua suspek, tiga ahli perniagaan dan seorang pelajar universiti, berusia dalam 20-an dan mereka didakwa atas tuduhan membunuh.

Kedutaan AS di Manila mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan ringkas.

“Pihak kedutaan mengutuk serangan ganas ini. Mangsa adalah suami tersayang kepada staf kedutaan dan bapa kepada tiga anak,” kata jurucakap kedutaan, Tina Malone dalam kenyataan.

Kenyataan itu tidak mendedahkan nama mangsa dan butiran lanjut.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar, Raul Hernandez berkata, pembunuhan itu adalah “kejadian terpencil” dan tidak disasarkan secara khusus kepada sesiapa. - MT

No comments:

Post a Comment