Satu sen pun tak dapat lagi
Siti Hajar dan suami menunjukkan surat penjanjian perumahan rumah yang dibeli dan notis kehakiman yang dikeluarkan.
PENDANG – Satu sen pun tak dapat. Itulah luahan kecewa pasangan suami isteri di Taman Bunga Raya dekat Pekan Tokai di sini, yang masih menanti wang pendahuluan pembelian rumah daripada sebuah koperasi seperti yang diarahkan Mahkamah Majistret Alor Setar.

Difahamkan, Mahkamah Majistret Alor Setar mengarahkan defendan membayar kepada plaintif, Siti Hajar Hassan, 54, sebanyak RM5,565 sebagai penyelesaian muktamad semua tuntutan

Difahamkan lagi, bayaran itu perlu dibuat pada awal November 2005 iaitu bertarikh 11 Oktober 2005, namun sehingga kini ia dikatakan masih belum diterima plaintif.

Siti Hajar berkata, harapan dia dan suaminya, Mohd Shamsudin, 54, untuk menetap di Pengkalan Kundor dekat Alor Setar selepas suaminya bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak kesampaian setelah didakwa ditipu pemaju terbabit.
“Selepas suami bersara pada 1999, dia membeli rumah kos rendah di situ pada 2002 dengan harga ketika itu RM42,000 dan terus membayar wang pendahuluan rumah kepada pemaju kira-kira RM5,565.

“Selepas menyerahkan wang pendahuluan, pemaju terbabit menyerahkan dokumen pendaftaran bekalan elektrik dan air.

"Selepas itu saya dan suami singgah ke rumah terbabit, namun terkejut melihat rumah itu telah mempunyai penghuni dan sedang diubah suai,” katanya.

Menurutnya, dia yang berasal dari Alor Setar sangat mengimpikan untuk menetap di situ selepas suaminya bersara.

Dalam pada itu, Mohd Shamsudin berkata, selepas menyedari ditipu pemaju, dia dan isterinya merujuk kepada peguam yang dilantik untuk perjanjian perumahan, namun beliau enggan menyelesaikan masalah itu sehingga mereka memohon bantuan daripada Biro Bantuan Guaman Kedah.

“Biro Bantuan guaman menyelesaikan masalah ini sehingga selesai perbicaraan mahkamah, namun sehingga kini saya masih ternanti-nanti bayaran itu apabila satu sen pun saya masih tak dapat.

“Satu merujuk beberapa kali kepada pihak Biro Bantuan Guaman namun difahamkan pihak terbabit turut gagal mengesan koperasi terbabit sehinggakan mereka menyerahkan fail penghakiman agar saya sendiri menuntut wang itu,” katanya.

Mohd Shamsudin berkata, sehingga kini mereka buntu untuk menuntut wang terbabit kepada pihak koperasi menyebabkan mereka hanya mampu menunggu sahaja.