Wednesday, November 7, 2012

Militan Islam bukan ancaman kepada AS: Kajian



 
Chicago: Ketika pilihan raya presiden bermula hari ini, kebanyakan rakyat Amerika Syarikat tidak lagi melihat kumpulan militan Islam sebagai ancaman besar kepada keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Ini berbeza dengan sikap rakyat Amerika terhadap kumpulan fundamentalis Islam selepas serangan 9/11 pada 2011 di New York.
Ia berdasarkan kajian The Chicago Council on Global Affairs (Majlis Chicago Mengenai Hal Ehwal Global) terhadap 1,800 responden pada Mei-Jun 2012.

Ia mendapati hanya 37 peratus melihat kumpulan militan Islam sebagai ancaman, berbanding 60 peratus dalam kajian sama setahun selepas 9/11, pada 2002.

Ia juga menunjukkan dua pertiga rakyat Amerika berpendapat campur tangan Amerika di Iraq dan Afghanistan gagal menyelesaikan masalah keganasan.

Felo majlis itu, Dina Smeltz, berkata: “Demografi penduduk Amerika banyak berubah dengan pertambahan penduduk Islam dan Hispanik selain Asia.

“Kajian ini dilakukan sebelum serangan di Benghazi, Libya apabila duta Amerika ke Libya dan tiga pengawal terbunuh. Ada kemungkinan peratusan itu naik jika kajian baru dibuat sekarang.
“Paling penting pelbagai etnik di negara ini tidak lagi prejudis terhadap orang Islam atau kumpulan ekstremis yang dikaitkan dengan mereka,” katanya ketika ditemui BH selepas menyampaikan kertas kerja, ‘Apakah Dasar Luar Negara Yang Dikehendaki Rakyat Amerika dan Kaitannya Dengan Pilihan Raya Presiden Amerika’, di sini semalam.

Presiden Barack Obama memutuskan tentera Amerika akan keluar Afghanistan pada 2014.

Kepada soalan kempen Afghanistan tidak berbaloi untuk Amerika, 75 peratus penyokong Bebas setuju, manakala Demokrat (68 peratus) dan Republikan (55 peratus).

Malah, 28 peratus Republikan mahu tentera Amerika kekal di Afghanistan berbanding Demokrat (11 peratus) dan Bebas (16 peratus) selepas 2014.

No comments:

Post a Comment