Wednesday, November 7, 2012

Yogurt baik untuk kesihatan jantung



MONTREAL 6 Nov. - Yogurt bukan sahaja baik untuk usus, malah satu kajian terkini mendapati hidangan berkhasiat itu juga memberi manfaat kepada kesihatan jantung.
Sekumpulan penyelidik dari Universiti McGill, di sini mendapati dua hidangan yogurt yang mengandungi probiotik mampu menurunkan molekul yang membawa kolesterol dalam darah, termasuk kolesterol jahat dan semua jenis kolesterol.
Probiotik merupakan mikroogranisma, bakteria semula jadi dalam usus yang mempunyai manfaat dan boleh ditemui di dalam yogurt serta suplemen tambahan.
Kajian sebelum ini mendapati, bakteria probiotik yang dikenali sebagai Lactobacillus reuteri berupaya menurunkan paras kolesterol jahat atau kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL).
Ketua penyelidik, Dr. Mitchell Jones berkata, pihaknya berusaha mempertingkatkan kajian mengenai peranan probiotik dalam merawat penyakit kronik seperti sakit jantung.
Kumpulan itu turut mengkaji sama ada probiotik yang sama boleh menurunkan LDL dan paras kolesterol ester dalam darah, iaitu molekul kolesterol yang melekat pada asid lemak, yang merupakan penyumbang utama kepada masalah kolesterol dalam darah dan menyebabkan risiko penyakit kardiovaskular meningkat.
Kajian tersebut melibatkan 127 responden dewasa yang mempunyai paras kolesterol tinggi dengan separuh daripadanya mengambil Lactobacillus reuteri selama dua kali sehari, sementara responden lain mengambil suplemen berlainan.
Keputusan kajian menunjukkan, pesakit yang mengambil probiotik merekod penurunan 11.6 peratus paras LDL, berbanding mereka yang mengambil suplemen lain selepas sembilan minggu, manakala kolesterol ester juga berkurang sebanyak 6.3 peratus serta kolesterol ester asid lemak tepu menurun sebanyak 8.8 peratus.
Dr. Jones berkata, untuk kali pertama kajian menunjukkan pengambilan formula yang mengandungi probiotik mengurangkan paras kolesterol ester yang berkaitan dengan asik lemak tepu di dalam darah.
"Pesakit kebanyakannya lebih toleransi dengan probiotik dan penggunaan probiotik jenis Lactobacillus reuteri yang biasa terdapat dalam yogurt selamat diambil berdasarkan kajian dan juga fakta sejarah," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121107/lu_08/Yogurt-baik-untuk-kesihatan-jantung#ixzz2Bb2TtvpW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment