Wednesday, November 7, 2012

Puluhan ribu tiada tempat tinggal

Sebahagian sukarelawan menjalankan tugas di sebuah gimnasium yang dijadikan pusat perlindungan sementara untuk mangsa-mangsa Taufan Sandy di Far Rockaway, New York, Amerika Syarikat, kelmarin. - AFP
NEW YORK 5 Nov. - Berpuluh-puluh ribu mangsa Taufan Sandy di New York kini berdepan kesukaran disebabkan ketiadaan tempat tinggal dan bekalan elektrik yang masih belum pulih, ketika suhu di bandar raya ini hampir mencecah paras beku, semalam.
Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg berkata, antara 30,000 hingga 40,000 penduduk di bandar raya ini sahaja memerlukan tempat perlindungan sementara.
"Kami tidak mempunyai banyak kediaman yang tidak berpenghuni di sini. Cabaran ketika ini adalah mendapatkan rumah secepat mungkin kerana musim sejuk bakal tiba dan kami tidak akan membiarkan sesiapa pun tidur di tepi-tepi jalan," katanya.
Suhu jatuh hampir ke paras beku sepanjang malam tadi dan ribut awal musim sejuk dijangka melanda wilayah ini minggu ini, yang membawa angin kencang serta hujan lebat.
Setiausaha Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Janet Napolitano berkata, beberapa agensi persekutuan cuba mendapatkan pangsapuri dan bilik-bilik hotel bagi menempatkan mangsa Taufan Sandy yang hilang kediaman.
"Kediaman merupakan keperluan utama ketika ini," katanya dalam satu sidang akhbar.
Sepanjang malam tadi, sekurang-kurangnya dua mayat ditemui di New Jersey, satu daripadanya maut akibat kesejukan melampau, menjadikan angka kematian akibat Sandy di Amerika Utara meningkat kepada 113 orang.
Acara maraton New York yang sepatutnya berlangsung semalam, dibatalkan pada saat-saat akhir Jumaat lalu oleh Bloomberg, selepas beliau dikritik kerana bercadang untuk meneruskan acara itu pada awalnya.
Tanpa larian tersebut, beratus-ratus peserta yang mengunjungi bandar raya itu mengambil kesempatan dengan menghantar makanan dan pakaian kepada mangsa yang memerlukan.
Lebih 1,000 orang memenuhi Staten Island, kawasan paling teruk terjejas semalam, bagi menghulurkan bantuan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121106/lu_01/Puluhan-ribu-tiada-tempat-tinggal#ixzz2Bb6J0eb4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment