Saturday, December 29, 2012

Polis sahkan tiga rakyat Malaysia sertai militan

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sekurang-kurangnya tiga rakyat Malaysia berada di negara jiran menyertai kumpulan militan ketika ini.
Menurut Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) PDRM, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, tiga rakyat Malaysia yang dikenal pasti menyertai kegiatan militan di negara jiran ialah pemimpin Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Zulkifli Khir atau lebih dikenali sebagai Marwan, Jeknal Adil dan Amin Bacho.
Beliau berkata, ketiga-tiga rakyat Malaysia terbabit dan mungkin beberapa lagi rakan senegara yang belum dikenal pasti identiti mereka berjuang dalam satu kumpulan militan untuk mencapai matlamat menubuhkan sebuah negara berkonsepkan Daulah Islamiah (JI) di Nusantara.
“Untuk makluman, ada beberapa rakyat Malaysia masih berada dan aktif di negara jiran menyertai kumpulan militan.
“Antaranya ialah Marwan atau Zulkifli Khir yang sudah berada di negara jiran sejak 2001 dan ada beberapa lagi elemen (militan rakyat Malaysia) seperti Jeknal Adil dan Amin Bacho yang bersama Marwan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan program walkabout di pusat beli-belah Cheras Leisure Mall, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap saki- baki anggota kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan suspek kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI), Allahyarham Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar, 26, yang ditembak mati pihak berkuasa Filipina baru-baru ini.
Menurut Mohamad Fuzi, pembentukan negara berkonsep Daulah Islamiah yang diperjuangkan oleh kumpulan militan berkenaan ialah penggabungan negara yang mempunyai penduduk Islam yang ramai iaitu selatan Filipina, Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Jelasnya, bagi mencapai matlamat tersebut, kumpulan militan terbabit mempunyai anggota dari negara ini, Singapura dan juga Indonesia.
“Selain rakyat kita, ada beberapa lagi elemen atau anasir militan dari negara jiran lain yang berdekatan dengan negara kita turut menyertai kumpulan militan yang sama seperti Muawiyah dari Singapura.
“Kita sudah mengetahui kedudukan rangkaian mereka ini dan mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain pada setiap masa," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalin bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dari negara jiran untuk menangani dan memantau isu militan bagi mengelak merebak dan berkembang sehingga menjejas keselamatan negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121229/je_02/Polis-sahkan-tiga-rakyat-Malaysia-sertai-militan#ixzz2GRlq3BW0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment