Mahmoud Abbas
Abbas melambai ke arah penduduk selepas beliau berucap di Ramallah, kelmarin. Foto: AP
RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam memberi amaran bahawa beliau akan membubarkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) jika Israel tidak melakukan sebarang tindakan untuk memperbaharui rundingan damai selepas pilihan raya negara itu pada 22 Januari depan.

Kenyataan itu dikeluarkan semasa wawancara bersama akhbar harian Israel, Haaretz.

Menurutnya lagi, jika tiada tindakan diambil selepas pilihan raya itu, beliau mungkin terpaksa menyerahkan Tebing Barat kepada Israel yang sebelum ini menjadi pertikaian antara kedua-dua negara tersebut.

"Saya bersetuju untuk memulakan semula rundingan tersebut jika Israel membekukan projek pembinaan baru mereka yang diumumkan baru-baru ini dan memindahkan hasil cukai termasuk membebaskan kira-kira 120 tahanan Palestin," jelas beliau dipetik AP.

Difahamkan, amaran itu bukan pertama kali disuarakan oleh Mahmoud selepas rundingan damai Israel-Palestin tertangguh sejak September 2010.

Sebelum ini, Palestin berkeras menuntut Israel membekukan projek penempatan haram mereka sebelum kembali ke meja rundingan manakala rejim Zionis pula sering membuat helah untuk menangguhkan proses itu.