JPJ bakar
Keadaan kereta JPJ selepas api berjaya dipadamkan.
IPOH -  Polis menahan tiga orang bagi membantu siasatan kes kenderaan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seri Manjung dirosak orang awam di Pekan Ayer Tawar berhampiran Seri Manjung dekat sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mereka ditahan di kawasan berasingan hari ini dan semalam.

"Polis masih menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek dan akan menahan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Akhbar hari ini melaporkan sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ diterbalik dan dibakar orang ramai dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di KM 12 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Sekolah Menengah Methodist, Ayer Tawar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Ahmad Mat Isa dilapor berkata, kira-kira 30 individu di kawasan itu menyerbu ke arah anggota JPJ terbabit dan menuduh mereka menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut.

Pelanggaran itu mengakibatkan empat cedera parah manakala 11 yang lain cedera ringan dan kesemua mereka menerima rawatan di Hospital Seri Manjung. - Bernama