RIYADH - Raja Arab Saudi, Raja Abdullah melakar sejarah negara itu apabila buat pertama kali melantik 30 wanita menganggotai Majlis Syura - sebahagian daripada usaha mengadakan pembaharuan di negara pengeksport minyak itu.

Sebelum ini, Majlis Syura didominasi oleh kaum lelaki.

Semalam, Raja Abdullah mengeluarkan satu dekri yang menetapkan kuota wanita ditetapkan sebanyak 20 peratus dalam Majlis Syura iaitu sebuah badan yang dilantik oleh raja untuk memberi nasihat mengenai dasar negara dan undang-undang.

Satu artikel dalam undang-undang baru itu memberi kuasa kepada wanita dalam badan itu, di mana berdasarkan 150 ahlinya, 30 daripadanya adalah wanita.

Walaupun majlis tersebut tidak mempunyai kuasa dalam menggubal undang-undang, namun kuota sebanyak 20 peratus itu menjadikan Saudi merupakan negara keempat di rantau Arab melibatkan wanita dalam arena politik di parlimen.

Raja Abdullah membuat keputusan itu selepas mengadakan rundingan dengan pemimpin-pemimpin agama kerajaan di mana wanita tertakluk kepada banyak sekatan dan tidak dibenar bergaul bebas dengan lelaki.

Mereka menetapkan wanita dan lelaki akan diasingkan pada majlis-majlis awam dengan mengadakan kawasan khas bagi wanita dan akan masuk melalui pintu berasingan dengan lelaki.

Raja Abdullah sebelum ini turut optimis ke arah perubahan termasuk memperkenalkan pilihan raya perbandaran buat julung kali di Arab Saudi pada tahun 2005.

Pada September 2011, Raja Abdullah turut memberikan hak kepada wanita untuk keluar mengundi dan membuka ruang bagi wanita menjadi calon dalam sesi pilihan raya yang  bakal diadakan pada tahun 2015.