Friday, January 4, 2013

Guru wanita maut ditembak militan



PESHAWAR 2 Jan. - Sebanyak lima guru wanita maut akibat ditembak penyerang bersenjata ketika pulang dari sekolah di Peshawar, semalam.
Kejadian itu berlaku di wilayah yang sama, seorang gadis, Malala Yousufzai, 15, ditembak di kepala oleh Taliban, Oktober lalu kerana mengkritik kumpulan itu dan memperjuangkan pendidikan di kalangan kanak-kanak perempuan di Pakistan.
Sementara itu, dua lagi pekerja kesihatan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Support With Working Solutions, seorang lelaki dan seorang wanita, turut maut akibat ditembak tengah hari ini, di wilayah konservatif Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan.
Bagaimanapun, belum ada kumpulan militan yang mengaku terlibat dengan serangan terbaharu itu.
Pengarah pertubuhan itu, Javed Akhtar berkata, pekerjanya menjadi sasaran militan kerana terlibat dengan kempen vaksin anti-polio, yang dianggap sebagai agenda Amerika Syarikat (AS).
Bulan lalu, sembilan pekerja kempen vaksin anti-polio maut ditembak militan, dengan empat daripadanya berlaku di Peshawar.
Beberapa serangan terbaharu itu mengingatkan risiko yang perlu ditempuh oleh para guru dan pekerja kesihatan, terutama wanita, di kawasan militan yang menentang pendidikan di kalangan kanak-kanak perempuan dan juga wanita.
Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan di Karachi, empat maut dan berpuluh-puluh cedera selepas sebutir bom motosikal meletup ketika satu perarakan politik diadakan, semalam.
Bom itu didakwa disasarkan kepada sebuah bas yang membawa penyokong parti dominan, Pergerakan Muttahida Qaumi (QMQ), yang menganjurkan perhimpunan yang dihadiri beribu-ribu pengikut itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130103/lu_05/Guru-wanita-maut-ditembak-militan#ixzz2H0i6wKAO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment