Friday, January 4, 2013

Tamoun diserbu




         
TAMOUN: Serbuan oleh tentera Israel yang menyamar sebagai peniaga sayur mencetuskan pertempuran yang menyebabkan 10 penduduk Palestin di bandar di utara Tebing Barat ini cedera, semalam.

Tentera Israel menyerbu bandar Tamoun untuk menangkap aktivis dan pejuang adalah perkara biasa.


Serbuan biasanya dijalankan bersama dengan pasukan keselamatan Palestin dan suspek biasanya ditahan tanpa berlaku keganasan.

Pertempuran di Tamoun semalam bermula awal pagi apabila tentera Israel yang menyamar sebagai peniaga dalam lori sayur menahan seorang lelaki.


Tentera beruniform Israel kemudian memasuki bandar berkenaan menyebabkan remaja Palestin melontar batu ke arah mereka bagi menghalang lebih banyak penangkapan.


Tentera Israel menembak peluru getah dan hidup serta melepaskan gas pemedih mata ke arah remaja yang membakar tayar kerana mahu menghalang pergerakan kenderaan tentera Zionis itu.

Beberapa jam kemudian, puluhan remaja bertopeng melontar batu dan bom api ke arah tentera Israel itu.


Faris Bisharat, penduduk bandar Tamoun berkata, 10 orang cedera, sebahagiannya akibat terkena tembakan peluru hidup.

Menurutnya, mereka yang diburu tentera Israel ialah anggota Jihad Islam.


Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah yang diburu tentera Zionis itu.


Setakat ini, tiada maklumat mengenai keadaan 10 mangsa yang cedera itu.


Tentera Israel berkata, dua anggotanya cedera dalam kejadian itu dan ia berjaya menahan seorang lelaki yang ada hubungan dengan kumpulan Jihad Islam. Pertempuran antara penduduk Palestin dengan tentera Israel jarang berlaku di bandar berkenaan.

No comments:

Post a Comment