Friday, January 4, 2013

Korban Syria cecah 60,000



Imej diperoleh dari sedutan video YouTube, menunjukkan keadaan mayat-mayat yang rentung dalam serangan tentera kerajaan di Muleiha, pinggir bandar Damsyik, kelmarin. - AFP
AMMAN/GENEVA 3 Jan. - Lebih 60,000 orang maut di Syria sejak konflik perang saudara meletus tahun lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, jumlah kematian tertinggi yang didakwa setakat ini dalam konflik yang dilihat tidak menunjukkan tanda-tanda akan tamat.
Dalam keganasan terbaharu, aktivis berkata, berpuluh-puluh penduduk terbunuh di pinggir Damsyik, apabila tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas sebuah stesen minyak, menyebabkan pemandu yang mahu mengisi minyak, maut.
"Sekurang-kurangnya 30 mangsa ditemui, sama ada rentung atau mayat mereka sukar dikenal pasti," kata aktivis, Abu Saeed yang tiba satu jam selepas satu serangan berlaku di Muleiha, pinggir bandar Damsyik pada pukul 1 petang waktu tempatan, semalam.
Di utara Syria, pemberontak melancarkan serangan besar-besaran bagi merampas lapangan terbang tentera dan mendakwa pihaknya berjaya memusnahkan jet pejuang serta helikopter di situ.
Sementara itu di Geneva, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Navi Pillay berkata, analisis para penyelidik berdasarkan beberapa sumber menunjukkan, sebanyak 59,648 maut di Syria antara 15 Mac 2011 hingga 30 November lalu.
"Angka kematian sebenarnya lebih tinggi daripada yang dianggarkan dan ini sangat mengejutkan. Disebabkan tidak ada tanda-tanda konflik menemui penamat penghujung November lalu, kami menganggarkan lebih 60,000 maut di Syria sejak konflik tercetus sehingga kini," katanya.
Bagaimanapun, maklumat itu tidak menyatakan sama ada mangsa merupakan pemberontak, tentera atau orang awam.
Sebelum ini, Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia mendakwa, kira-kira 45,000 disahkan maut di Syria sepanjang konflik tercetus, namun angka sebenar dianggarkan lebih tinggi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130104/lu_01/Korban-Syria-cecah-60000#ixzz2H0hcRJ5s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment