81 maut, 200 cedera pasar dibom
Operasi pengecaman mayat dilakukan selepas serangan bom berlaku di pasar Hazara, Quetta, Pakistan.
QUETTA - Sekurang-kurangnya 81 orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak manakala 200 yang lain cedera parah selepas terkena letupan bom yang disasarkan pada puak Syiah di pasar yang sesak di barat daya Pakistan, semalam.

Pegawai Kanan Polis Quetta, Wazir Khan Nasir berkata, bom yang diletakkan di dalam tangki air itu memusnahkan sebuah pasar di bandar Hazara, wilayah yang dikuasai puak Syiah di pinggir bandar Quetta.

“Beberapa rumah dan kedai musnah. Dianggarkan 100 kilogram bahan letupan digunakan dalam serangan itu,” katanya.

Menurutnya, kumpulan militan Lashkar-e-Jhangvi mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Seorang aktivis, Haider Changezi berkata, penyelamat dan sukarelawan masih teragak-agak untuk menghampiri kawasan kejadian kerana khuatir masih terdapat ledakan bom.

“Kami yakin jumlah kematian akan meningkat kerana serangan berlaku di kawasan padat dengan orang awam dan banyak lagi mayat belum ditemui,” katanya.

Bulan lalu, kejadian sama berlaku di kawasan itu dengan mengorbankan 90 orang awam.

Sementara itu, Perdana Menteri Raja Pervaiz Ashraf berkata, kerajaan bertekad melawan habis-habisan terhadap dalang serangan bom berkenaan.

“Mereka ialah pengecut kerana tidak berani untuk bersemuka dengan kami dan kami yakin penyerang akan diburu dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. - Reuters