Tuesday, February 19, 2013

Jenayah perang di Syria masuki fasa 'luar kawalan'



GENEVA 18 Feb. - Jenayah perang melibatkan pihak tentera dan pemberontak di Syria sudah memasuki fasa di 'luar kawalan' dan semakin radikal, sehingga meningkatkan konflik antara puak, menurut laporan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.
Suruhanjaya Antarabangsa Kebebasan yang dilantik PBB dalam laporannya berkata, konflik meruncing di Syria boleh dilihat daripada segi jumlah mangsa yang terlibat sepanjang konflik berlaku.
"Keadaan itu melanggar hak asasi manusia, melibatkan jenayah perang dan perang terhadap kemanusiaan," kata suruhanjaya itu dalam laporan tersebut.
Badan itu turut memberi amaran, kemusnahan dinamik akibat perang saudara di Syria, bukan hanya memberi kesan kepada penduduk, namun menghancurkan jaringan sosial di negara itu, meletakkan generasi akan datang dalam keadaan tidak menentu serta mengancam keamanan dan keselamatan kepada keseluruhan Syria.
Suruhanjaya yang ditubuhkan pada 2011 oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu turut dianggotai bekas pendakwa raya jenayah terkenal, Carla del Ponte.
Angka penuh kematian di Syria sukar untuk dinyatakan dengan tepat sejak konflik tercetus pada 2011, namun PBB menganggarkan jumlah korban melebihi 70,000 orang.
Dalam laporan pada Ogos lalu yang dibuat berdasarkan kepada lebih 1,000 wawancara dengan mangsa dan pihak kerajaan, kebanyakan responden menyalahkan kedua-dua belah pihak, meski pun menganggap pemberontak bukan punca utama.
Dalam laporan terkini berdasarkan wawancara dengan kira-kira 450 responden pula, kebanyakan mereka menyatakan keadaan terkini di Syria lebih teruk kerana ia ibarat keganasan di luar kawalan.
"Situasi hak asasi manusia di Syria berterusan merosot. Konflik itu menyebabkan pertelagahan puak meningkat, dengan setiap pihak mula bersikap lebih radikal dan ganas," kata laporan itu.
Laporan itu juga berkata, tentera dan militia melakukan jenayah terhadap kemanusiaan termasuk membunuh, mendera, merogol dan perlakuan-perlakuan lain yang tidak berperikemanusiaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130219/lu_02/Jenayah-perang-di-Syria-masuki-fasa-luar-kawalan#ixzz2LKK79czu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment