Lelaki ditahan sebar dakyah Kristian
Pihak keselamatan melakukan pemeriksaan terhadap orang awam selepas mengetahui terdapat penyebaran agama Kristian di Benghazi.
BENGHAZI - Empat individu warga asing disyaki sebagai mubaligh Kristian ditahan kerana cuba menyebarkan ajaran agama itu di wilayah Benghazi, Libya.
Pegawai keselamatan negara, Hussein Hameid berkata, mereka  adalah warga Mesir, Afrika Selatan, Korea dan Sweden.
"Empat lelaki ditahan ketika sedang mencetak buku dan risalah tentang agama tersebut," katanya.
Menurutnya, kesemua individu itu menggunakan visa perjalanan Amerika Syarikat untuk memasuki negara tersebut sejak beberapa bulan lalu.
"Aktiviti mereka ini menyalahi undang-undang kerana majoriti penduduk Libya adalah beragama Islam. Tindakan mereka ini boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya.
Beliau berkata, kesemua lelaki itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa perisikan Libya selepas siasatan dilakukan. - Reuters