Friday, February 1, 2013

Israel hanya membisu



Baitulmaqdis: Israel semalam mengambil sikap membisu berhubung dakwaan ia mengebom pangkalan tentera Syria di Damsyik.

Rejim Zionis enggan mengesah atau menafikan sebarang pembabitan dalam serangan itu.
Ia juga enggan mengulas satu lagi laporan yang mendakwa pesawatnya menyerang satu konvoi membawa senjata di sempadan Syria-Lubnan.

Tentera Syria sebelum ini berkata, tentera Israel melancarkan serangan awal pagi semalam menyasarkan pusat penyelidikan sains dekat Damsyik.


Penduduk tempatan memberitahu media, kawasan yang menjadi sasaran adalah pusat penyelidikan senjata bukan konvensional.


Israel sebelum ini berulang kali memberi amaran, ia akan mengisytiharkan peperangan jika stok simpanan senjata kimia Syria jatuh ke tangan kumpulan Hizbullah.

Rejim Zionis itu juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan peluru berpandu jarak jauh Scud atau senjata lain yang lebih canggih seperti sistem antipesawat dan peluru berpandu darat ke darat milik Syria jatuh ke tangan kumpulan Hizbullah.

Serangan semalam menjadi tajuk utama akhbar Israel dengan pihak berkuasa dan pengkritik segera menegaskan bahawa Israel tidak akan membenarkan pemindahan senjata canggih kepada Hizbullah, sekutu rapat Iran dan Syria.

“Perkara terbaik yang diharapkan Israel ialah Barat akan mengawal senjata berkenaan,” kata ahli Parlimen Parti Likud, Tzahi HaNegbi yang dikenali sebagai kenalan rapat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

“Tetapi dunia belum bersedia berbuat demikian. Kerana Israel saja boleh menyelesaikannya,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment