Friday, February 1, 2013

Perancis siap sedia serang bandar Kidal



Seorang askar Mali berdiri dekat pelbagai jenis senjata yang dirampas daripada militan Islam selepas tentera Mali dibantu tentera Perancis menawan bandar Timbuktu, kelmarin. Tentera Perancis bersiap sedia melancarkan serangan menawan Kidal, bandar terakhir dikuasai militan Islam di utara Mali, semalam. - Reuters
BAMAKO 30 Jan. - Tentera Perancis bersiap sedia melancarkan serangan ke atas Kidal, bandar terakhir yang dikuasai militan Islam di utara Mali, selepas tiba di lapangan terbang Kidal, awal hari ini.
Menurut satu sumber keselamatan wilayah itu, pesawat Perancis telah mendarat di Kidal dan helikopter tentera turut kelihatan berterbangan di ruang udara bandar itu bagi memberi pelindungan kepada tentera Perancis.
Seorang jurucakap Pergerakan Azawad (IMA), yang baru-baru ini mengumumkan telah menguasai Kidal turut mengesahkan tentera Perancis telah mendarat di bandar itu.
"Pemimpin kami sedang berunding dengan mereka," katanya.
Kidal yang terletak 1,500 kilometer di timur laut Bamako, ibu negara Mali, dikuasai kumpulan Ansar Din (Pembela Agama), tetapi IMA pada Khamis lalu mengumumkan keluar daripada kumpulan Ansar Dine kerana menolak 'pelampau dan keganasan' serta mahu mencari penyelesaian aman kepada krisis Mali.
Kidal adalah bandar utama ketiga di utara Mali, selain Gao dan Timbuktu, yang dikuasai oleh kumpulan radikal.
Sementara itu, di Timbuktu semalam, sehari selepas tentera Perancis menawan bandar itu, beratus-ratus orang bertindak mengambil barangan di kedai-kedai yang didakwa mereka milik Arab, Mauritania dan Algeria yang menyokong kumpulan militan.
Mereka mengambil semua senjata dan alat komunikasi tentera termasuk televisyen, makanan dan perabot, sebelum tentera Mali mengawal keadaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130131/lu_03/Perancis-siap-sedia-serang-bandar-Kidal#ixzz2Jb5fRJOE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment