Thursday, February 28, 2013

Masjid Ummayad rosak teruk



BEIRUT 27 Feb. - Sebuah masjid bersejarah di bandar Aleppo, yang tersenarai sebagai satu daripada warisan dunia, mengalami kerosakan teruk akibat pertempuran antara tentera Syria dan pemberontak di bandar itu, semalam.
Ia merupakan kali kedua Masjid Ummayad yang disenarai sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengalami kerosakan teruk, selepas kali pertama ketika pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak pada Oktober lalu.
Agensi berita Syria melaporkan, kumpulan pemberontak meletupkan bom dekat dinding bahagian selatan masjid berkenaan, menyebabkan beberapa bahagian masjid itu mengalami kemusnahan teruk.
Sejak pemberontakan tercetus di Syria dua tahun lalu, banyak warisan dunia dan tapak arkeologi penting di negara ini musnah akibat perang saudara.
Menurut UNESCO, sekurang- kurangnya lima daripada enam tapak Warisan Dunia di Syria musnah dalam pertempuran antara kedua-dua belah pihak.
Selain itu, ada pihak tidak bertanggungjawab memecah masuk istana bersejarah Crac des Chevaliers dan merosakkan bandar bersejarah Palmyra.
Pihak tentera dan pemberontak saling menggunakan tapak bersejarah di negara ini sebagai pangkalan mereka, manakala kumpulan pencuri pula mencuri sejumlah artifak penting dari tapak arkeologi dan muzium.
Dalam perkembangan lain, pertempuran sengit dilapor tercetus dekat sebuah akademi polis yang menjadi kawasan penting tentera kerajaan di bandar Aleppo sejak dua hari lalu.
Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan, kedua-dua pihak saling berbalas-balas serangan menggunakan meriah menyerang kedudukan masing-masing.
Pertubuhan yang berpangkalan di Britain itu berkata, tentera kerajaan turut melancarkan serangan udara di kawasan berkenaan.
Angka korban dalam pertempuran sejak dua hari lalu berjumlah 71 orang termasuk 26 pemberontak dan 45 tentera kerajaan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130228/lu_03/Masjid-Ummayad-rosak-teruk#ixzz2MCy3LpDm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment