Tiga tahun projek tangguh
Keadaan surau yang tinggi menyebabkan jemaahnya tidak berupaya menaiki tangga.
Tiga tahun projek tangguh
Kerja-kerja pembinaan surau sementara yang dibina bersebelahan Surau Al-Hidayah.
Tiga tahun projek tangguh
Ketika perbincangan dilakukan bagi menjelaskan keadaan sebenar kelewatan pembinaan bangunan sekolah.
LAHAT – Persoalan mengenai pembinaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Hidayah yang tertangguh selama tiga tahun berakhir apabila pihak konsultan menjawab segala kekusutan yang timbul dalam kalangan penduduk.

Pengerusi sekolah berkenaan, Abdul Aziz Abdul Rani berkata, pihaknya sebelum ini telah mendapatkan kelulusan pada Februari 2010 dengan peruntukan sebanyak RM328,000 daripada Kementerian Pelajaran.

Menurutnya, timbul pelbagai persoalan selepas itu apabila tiada perkembangan projek dilihat biarpun konsultan telah dilantik bagi menguruskan pembinaan sekolah tersebut sehingga ianya tertangguh hampir tiga tahun.

“Disebabkan ia mengambil masa terlalu lama, perkara ini telah menimbulkan salah faham dalam kalangan ibu bapa dan penduduk sehingga menyebabkan pertikaian.

“Ia berlaku memandangkan wang peruntukan telah disalurkan kepada pihak sekolah namun bangunan masih belum dibina,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi dialog bersama jawatankuasa penduduk kelmarin.

Beliau berkata, bangunan baru SAR itu akan dibina di tanah seluas 1.3 hektar berhampiran Tabika Kemas Bandar Lahat Baru, dewan dan bangunan Rukun Tetangga.
Menurutnya, kawasan berkenaan dilihat strategik dan selamat.

Abdul Aziz berkata, majlis pecah tanah juga telah dilakukan oleh Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman pada 14 September 2010 malah dalam tempoh berkenaan, banyak persoalan yang diajukan kepada mereka sehingga tiada jawapan yang dapat diberikan lagi.

Abdul Aziz berkata, apa yang lebih merungsingkan, SAR ini menu

pang di bawah surau Al -Hidayah sejak ia ditubuhkan pada Mac 1993 malah surau itu juga akan diubahsuai dalam masa terdekat untuk dijadikan bangunan baru.

Jelasnya, disebabkan faktor itu mereka sangat memerlukan bangunan baru untuk memastikan keselesaan murid tambahan pula murid semakin ramai saban tahun dan terkini SAR menerima hampir 100 murid berdaftar di sekolah tersebut.

Mahu jumpa Datuk Bandar

Bagi Penolong Kanan sekolah itu, Samsudin Samah berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim untuk memohon mempercepatkan segala prosedur bagi pembinaan bangunan sekolah dalam kadar segera.

Menurut beliau, tempoh yang diambil sebelum ini sangat lama sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif dan mencalarkan imej sekolah berkenaan.

“Kita juga berharap pihak surau dapat memberikan notis agar dapat dibawa kepada Datuk Bandar seterusnya menjadi satu bukti bahawa kami sememangnya mahukan bangunan itu dibina secepat mungkin.

“Jika pihak surau ingin meruntuhkan bangunan itu, kami harap mereka beri masa untuk kami cari bangunan lain untuk disewa buat sementara waktu.

“Tetapi faham-faham sahajalah kami kurang berkemampuan dari segi sumber kewangan,”katanya.

Surau uzur, mahu percepat pembinaan

Sementara itu, wakil surau, Mokhtar Badiuzaman berkata, perancangan untuk mengubahsuai surau tersebut memang sudah lama bagaimanapun kekangan kewangan membuatkan projek berkenaan tertangguh.

“Sekarang kami telah menerima peruntukan jadi perancangan itu akan diteruskan memandangkan bangunan surau itu telah reput dimakan anai-anai lagi pula, ramai jemaah yang mengadu tidak berupaya untuk menaiki tangga,”katanya.

Mokhtar berkata, sebelum ini pihak surau memang bercadang untuk menghantar notis bagaimanapun takut disalah anggap sebagai menghalau pihak SAR yang menumpang di bahagian bawah surau berkenaan yang dijadikan kelas sejak 20 tahun lalu.

Tambahnya, buat masa ini mereka akan memberikan tempoh selama 10 bulan bagi menyiapkan pembinaan bangunan sekolah baru dan berharap tempoh lanjutan itu diambil serius pihak SAR agar perancangan mengubahsuai surau itu dapat dilaksanakan kelak.

“Kami juga bertimbang rasa, jadi tempoh yang diberikan itu dapat digunakan sebaiknya pihak sekolah untuk membina bangunan baru. Jika asyik dilanjutkan tempohnya, bila pula kami hendak ubah suai surau, takut peruntukan kami ditarik,”katanya.

Kelewatan pembinaan bangunan sekolah itu turut mendapat maklum balas dari wakil syarikat konsultan yang terlibat, Kamal Mohammad menjelaskan terdapat beberapa masalah teknikal yang menyebabkan pembinaan bangunan itu tertangguh.

Menurutnya, pihaknya berhadapan masalah dengan Indah Water Konsortium (IWK) apabila terpaksa menghantar permohanan sebanyak tiga kali pada masa sama, kebenaran merancang pula tamat tempoh.

“Kami terpaksa membaharui kebenaran merancang namun pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah membuat beberapa tambahan dalam pelan dan kami terpaksa menghantar semula dengan tambahan yang diperlukan,”katanya.

Kamal berkata, tender akan dibuka dalam masa terdekat dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada bulan Mei 2013  dan dijangka siap dalam tempoh setahun mengikut keadaan cuaca dan beberapa faktor lain.

Beliau tidak menafikan kelewatan tersebut banyak menimbulkan masalah kepada pihak sekolah namun dia juga mengambil alih projek berkenaan di tengah jalan dan berharap selepas ini pembinaan sekolah tersebut akan berjalan lancar.