Saturday, March 23, 2013

Angka korban rusuhan agama meningkat



YANGON 22 Mac - Jumlah kematian akibat rusuhan agama yang berlaku di bandar Meiktila, tengah Myanmar sejak dua hari lalu, meningkat kepada 20 orang ketika rusuhan dilaporkan merebak ke beberapa buah perkampungan lain, hari ini.
Konflik darah itu turut memaksa Presiden Myanmar, Thein Sein mengumumkan perintah darurat di kawasan terlibat selepas pihak berkuasa gagal mengawal situasi berkenaan.
Perintah darurat dikuat kuasakan ke atas empat bandar iaitu Meiktila, Wandwin, Malaing dan Tharzi di tengah wilayah Mandalay.
Sekeping gambar yang menunjukkan keadaan huru-hara di bandar Meiktila turut didedahkan selepas sekumpulan perusuh Buddha diketuai oleh golongan sami, menggeledah dan membakar rumah penduduk Islam sejak kelmarin.
Seorang wartawan tempatan, U Aung Soe berkata, dia melihat 15 mayat rentung bergelimpangan di jalanan, awal hari ini.
Beliau turut menganggarkan angka kematian sebenar melebihi 40 orang.
"Perusuh Buddha menyerang rumah-rumah penduduk Islam di kawasan perkampungan di luar Meiktila hari ini," katanya.
Associated Press memetik kenyataan Ahli Parlimen dari Meiktila, U Win Htein sebagai berkata, sebanyak lima masjid dibakar dalam kejadian rusuhan tersebut.
Katanya, angka kematian telah mencecah 20 orang dan tindakan penduduk tempatan menghalang pihak berkuasa memadamkan kebakaran memburukkan lagi keadaan.
Dalam pada itu, sekumpulan wartawan menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan mereka selepas mereka dipaksa menyerahkan memori kad kamera oleh beberapa sami Buddha, dengan seorang daripadanya bersenjatakan pedang.
Semalam, sekumpulan penduduk Buddha merusuh di kawasan penduduk Islam di Meiktila sebagai membalas dendam terhadap kematian seorang sami sehari sebelum itu.
Seorang jurugambar tempatan, Wunna Naing berkata, situasi di kawasan itu tidak ubah seperti kawasan pembunuhan.
"Pihak polis juga tidak mampu berbuat apa-apa dan kanak-kanak merupakan antara mangsa yang turut dibunuh," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130323/lu_06/Angka-korban-rusuhan-agama-meningkat#ixzz2OLf4PtpK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment