Datuk Mustafar Ali
Datuk Mustafar Ali
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap dakwaan kumpulan aktivis antarabangsa, Global Witness ke atas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung penyelewengan yang didedahkan melalui satu video bertajuk ‘Inside Malaysia’s Shadow State’ .

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, SPRM sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan perkara itu.

“Berdasarkan bukti-bukti baru yang kita peroleh, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan Global Witness cuba menyerang Ketua Menteri Sarawak dan dilihat satu cubaan pihak asing untuk campur tangan dalam hal politik tanah air.

Katanya, apa yang mereka lakukan tidak sesuai, satu tipu helah, tidak 'gentleman', tidak beretika dan tindakan tidak bertamadun.

Kelmarin, Monetary Authority of Singapore menyanggah dakwaan video tersebut bahawa kerajaan Singapura merahsiakan maklumat kewangan daripada pihak berkuasa Malaysia.